PETALING JAYA – Kira-kira 120 pemimpin pelbagai agama menghadiri satu majlis berbuka puasa malam tadi dalam usaha mewujudkan pemahaman lebih baik antara agama berbeza.
Tradisi berbuka puasa yang masuk tahun ke-5 itu dianjurkan pertubuhan bukan kerajaan, Global Unity Network (Unity) yang diketuai pendakwah Islam terkenal, Shah Kirit Kakulal Govindji dan turut mendapat sokongan Christians For Peace and Harmony In Malaysia (CPHM).
Presiden Unity, Shah Kirit berkata perpaduan, keharmonian dan hubungan antara pemimpin berlainan agama serta NGO diperkukuhkan dalam program itu yang dihadiri 50 paderi dan pemimpin agama Kristian bersama lebih 30 imam serta wakil jabatan agama.
Beliau berkata, program itu juga bertujuan mengikis sentimen perkauman dan agama membabitkan penganut berlainan agama.
Katanya, cadangan menganjurkan program itu bermula daripada ketegangan antara penganut Kristian dan umat Islam 8 tahun lalu yang antaranya membabitkan isu Kalimah Allah serta rampasan Bible.
Pada awal penganjuran program itu sejak 2015, katanya, ia agak hambar kerana belum wujud kefahaman dan hubungan baik antara pihak terbabit.
“Konfik antara agama sentiasa ada, suami isteri pun boleh bergaduh, tapi bagaimana nak urus konflik itu penting. Konflik ini berlaku kerana wujud prasangka, salah faham.
“Sebagai contoh apa yang berlaku di New Zealand (serangan tembakan di masjid), (serangan ke atas gereja) di Sri Lanka.
“Kes di New Zealand, kita tak boleh salahkan Kristian dan di Sri Lanka tak boleh salahkan Islam sebab semua agama tak ajar keganasan, jadi manusia perlu kembali kepada ajaran agama yang betul.
“Antara isu lain berlaku konflik di Malaysia kerana perasaan tidak puas hati, salah faham, orang Islam lihat agama lain mencabar kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan bukan Islam pula rasa seolah-olah tiada kebebasan beragama, mereka fikir Islam campur tangan,” katanya kepada FMT hari ini.
Shah Kirit tidak menafikan ada pihak yang membantah program itu kerana mendakwa ia bertujuan menyamaratakan semua agama.
“Mereka nak pertahan agama masing-masing dan mereka tidak faham apa yang kami buat, apa matlamat kami. Kalau mereka faham, mereka tidak bertindak begitu.
“Kita tidak kata semua agama sama, cuma antara Islam dan Kristian banyak persamaan, tapi (masih) ada perbezaan…kita fokus kepada persamaan dan perbezaan itu kita letak tepi dulu sementara waktu. Bila sampai masa, kita bincang perbezaan, bukannya kita mula penyatuan ini dengan perbezaan.” – FreeMalaysiaToday
KOMEN