Home » Langit Terbuka » Imam kecewa insiden buang bayi depan masjid

Imam kecewa insiden buang bayi depan masjid

Mayat bayi yang ditinggalkan di pekarangan Masjid Pulau Ketam, Tunjang dekat Jitra. - Astro AWANI

JITRA 31 Jan. –  Apakah salah dan dosa bayi ini, soal seorang imam, kecewa dengan penemuan mayat bayi cukup sifat yang dibuang di hadapan pintu masjid di Tunjang, dekat sini.

Terkilan dengan apa yang terjadi, Salahuddin Ishak menganggap manusia kini sudah hilang sifat normal mereka dan lari dari fitrah serta tuntutan Allah.

Imam Masjid Pulau Ketam yang berusia 44 tahun itu berkata, mayat bayi malang itu ditemui salah seorang anak kariahnya dalam keadaan berbungkus dan ditinggalkan tepi pagar.

“Dia hendak buka pagar masjid, dia nampak ada plastik hitam. Dia sangka plastik sampah, dia angkat. Apabila dia angkat, dia rasa berat. Dia bukalah, tengok.

“Apabila buka sahaja plastik, nampak kaki (bayi), terus dia maklumkan kepada saya.. dan kami telefon polis Jitra untuk tindakan lanjut,” kata Salahuddin.

Kejadian ini mengejutkan lebih 20 jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Subuh kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

Sementara itu, siak masjid tersebut, Bakri Nizar turut melahirkan rasa terkejut dengan insiden yang pertama kali berlaku di situ.

“Pada saya, saya doakan mereka dapat taufiq dan hidayah. Kita doa mereka kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Ismail Ibrahim berkata, polis dalam siasatan awalnya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah penduduk yang berada di hadapan masjid.

Langkah itu bertujuan cuba mengenalpasti pelaku yang membuang mayat bayi terbabit.

Menurut Unit Forensik polis, mayat bayi itu dibungkus dalam kain batik sebelum diletakkan di dalam beg plastik.

Ia berada dalam keadaan kembung dan bengkak, dipercayai telah mati lebih 24 jam sebelum ditinggalkan di lokasi penemuan.

Mayat bayi terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat..

Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *