PUTRAJAYA – Imam Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim memohon maaf kepada seluruh umat Islam berhubung video penjelasannya mengenai isu layanan dua darjat bagi solat Jumaat di masjid itu, baru-baru ini.
Ustaz Ikmal berkongsi rakaman maaf secara terbuka itu menerusi laman Facebook Masjid Putra Putrajaya, kira-kira pukul 10.25 malam tadi.
Beliau memohon maaf berhubung penjelasannya yang dilihat agak keterlaluan mengenai video tular itu.
“Dengan rendah hati, saya ingin memohon naaf atas segala ketelanjuran tersebut dan berazam serta berjanji akan membaiki keadaan terutama berkaitan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Putra.
“Saya juga mengajak semua khasnya jemaah Masjid Putra untuk teruskan aktiviti pengimarahan sama ada solat Jumaat atau solat fardu dan program yang akan dianjurkan kelak,” katanya.
Sebelum ini, Ustaz Ikmal memuat naik video bagi memberi penjelasan sebenar berhubung isu tular itu malah beliau tidak reda atas penyebaran video berkenaan.
Menerusi rakaman video itu, Ustaz Ikmal turut menjelaskan situasi sebenar yang berlaku pada hari berkenaan.
Beliau turut menggesa individu yang menularkan video itu tampil memohon maaf kepada pihak penguruasan masjid.
Penjelasan Ustaz Ikmal itu bagaimanapun mengundang reaksi pelbagai oleh netizen termasuk ada yang melihat pemilihan kata dan nada suara dilontarkan Imam Besar Masjid Putra itu tidak sesuai dan kelihatan angkuh.
Sebelum itu, pihak pengurusan Masjid Putra menerusi kenyataan akhbar memohon maaf kepada semua pihak sekiranya wujud kekeliruan susulan penyebaran video tular itu.
Menurutnya, segala tindakan oleh pihak pengurusan masjid dibuat berdasarkan garis panduan dan SOP yang sudah ditetapkan oleh pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE
KOMEN