Home » Persuasif » Ilmu atau kerjaya?

Ilmu atau kerjaya?

Oleh KAMARUN KH

Kemunculan ratusan pusat pendidikan tinggi swasta menambahkan jumlah rakyat Malaysia yang berpendidikan tinggi dan selaras dengan sasaran yang ditetapkan di mana pada tahun 2020, 40 peratus penduduk mempunyai tahap pendidikan selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), iaitu di peringkat tertiari.

Berdasarkan kohort umur penduduk, setiap tahun terdapat lebih 450,000 mendaftarkan diri sebagai pelajar dan jumlah yang hampir sama mengambil peperiksaan SPM. SPM merupakan peperiksaan yang bakal menentukan aliran pendidikan tinggi dan diguna pakai secara meluas untuk kemasukan ke ruang pekerjaan atau pasaran buruh. Berdasarkan iltizam kerajaan sejak memperkenalkan pendidikan tinggi swasta, SPM sebelumnya dijadikan pengukur tahap pendidikan rakyat dan selepas tahun 1978, tahap pendidikan selepas SPM dijadikan sasaran minimum bagi setiap rakyat.

Ruang mendapat pendidikan terbuka luas dalam pelbagai aliran, iaitu akademik, teknikal, vokasional dan kemahiran selain agama. Sayangnya, saban tahun dianggarkan satu pertiga lepasan SPM tidak bersedia untuk memasuki institusi pendidikan atas pelbagai alasan, pembiayaan pendidikan yang mahal dan peluang pekerjaan selepas graduasi.

Dianggarkan lebih 100,000 orang pelajar menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai peringkat sijil, diploma dan ijazah sukar memperoleh pekerjaan disebabkan beberapa faktor, antaranya kecekapan berbahasa Inggeris, tidak mempunyai kemahiran, hanya berkelulusan akademik, tidak berpengalaman dan sikap memilih.

 

Pengangguran Siswazah

Kesannya, hampir 400,000 rakyat negara ini menganggur dan ia merupakan satu kerugian besar kepada negara. Sebahagian besar pelajar-pelajar berkenaan turut berhadapan dengan beberapa sekatan kerana tidak membayar pinjaman pendidikan walaupun sudah lebih enam bulan menamatkan pendidikan tertiari. Akhirnya, pembiaya atau pihak yang memberikan pinjaman pendidikan berhadapan masalah, kekurangan dana pusingan dan mengambil tindakan menyenaraihitamkan peminjam. Peminjam yang disenaraihitamkan akan terhalang daripada membuat sebarang bentuk pinjaman lainnya, termasuk pinjaman perumahan, kenderaan dan sebagainya.

Kegagalan menyediakan peluang pekerjaan bergantung atas banyak faktor, antaranya ialah penciptaan peluang pekerjaan yang baharu, pertumbuhan ekonomi dan proses penggantian akibat persaraan. Dalam tahun 1990-an, pengangguran dalam kalangan siswazah atau pemegang diploma tidak begitu membimbangkan kerana umur persaraan masih di usia 55 tahun. Namun, apabila kerajaan menaikkan umur persaraan kepada 56 tahun, kemudiannya 58 tahun dan seterusnya 60 tahun menyebabkan proses penggantian menjadi amat perlahan.

Proses penggantian dilihat perlahan berbanding jumlah pelajar yang keluar daripada sistem pendidikan tertiari. Sebahagian besar mereka yang tamat pengajian, mengambil kursus-kursus yang tidak bersifat profesional dan ketika ini, mereka yang berjaya menamatkan pendidikan dalam bidang perubatan masih tidak dapat ditempatkan ekoran syarat yang ditetapkan, wajib menjalankan housemanship selama dua tahun di hospital kerajaan.

Oleh kerana bilangan tempat housemanship terhad manakala graduan perubatan lebih ramai, terjadilah suasana pengangguran graduan perubatan, yang kos belajar adalah jauh lebih mahal. Sebahagian besar graduan tersebut dikeluarkan oleh institusi pendidikan swasta ataupun yang belajar di luar negara, termasuk dari universiti di Indonesia, India dan Pakistan. Bilangan mereka yang belajar perubatan di negara-negara berkenaan kian meningkat disebabkan kos pendidikan lebih rendah dan tidak menetapkan syarat kemasukan yang tinggi berbanding di dalam negara ataupun universiti-universiti terkemuka dunia.

Dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial, pengangguran siswazah banyak dikaitkan dengan sikap memilih dan enggan melakukan kerja-kerja yang lebih rendah. Melihat kepada senario tersebut, kita sesekali berfikir apakah universiti merupakan kilang yang mengeluarkan tenaga kerja atau tempat memperoleh ilmu pengetahuan? Jumlah pengangguran dalam kalangan siswazah akhirnya membawa kesimpulan, universiti-universiti tidak berupaya melahirkan modal insan yang diperlukan oleh pasaran kerja, tidak cukup kemahiran untuk diterima sebagai pekerja.

Pada tahun 1967, kerajaan menetapkan dasar pengambilan pelajar dalam dua aliran, iaitu sains dan sastera. Ditetapkan 60 peratus kemasukan pelajar ke universiti awam adalah pelajar sains manakala selebihnya adalah dalam bidang sastera. Kemudiannya, selepas hampir 50 tahun berjalan, nisbah tersebut masih belum tercapai. Akibatnya, para penggeraknya mengkritik dasar dan amalan kependidikan, tidak mengutamakan bidang sains lagi. Para pelajar sekarang lebih menumpukan pilihan dalam bidang-bidang profesional dan separa profesional, mereka lebih memilih ruang pendidikan yang boleh menjamin peluang pekerjaan selepas tamat.

Malaysia berhadapan dengan dilema. Peringkat universiti terus mendesak agar bekalan pelajar lepasan SPM dalam bidang sains bertambah setiap tahun, kerana bidang sains dianggap menjadi peneraju kemajuan sesebuah negara, terutama dalam peningkatan penyelidikan. Lebih ramai pelajar tidak berminat menjadi penyelidik dalam bidang sains, sebaliknya mengharapkan selepas belajar boleh bekerja dalam bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan.

Apabila isu pengangguran siswazah menjadi perbincangan, universiti mula memikirkan untuk membawa masuk elemen keusahawanan dalam kurikulum pendidikannya. Ini bermakna, universiti mula sedar, bidang keusahawanan boleh memberikan “nyawa” untuk terus memperoleh jumlah pelajar mencukupi. Pelajar tidak berminat menyambung pengajian universiti, sebaliknya mengharapkan boleh meraih pekerjaan. Usaha menyambung pendidikan tinggi boleh dilakukan secara separuh masa atau melalui kaedah pendidikan jarak jauh atau luar kampus.

Proses itu telah mempengaruhi kemasukan pelajar sains ke universiti kerana sebahagiannya cenderung memilih dalam bidang teknikal dan separa profesional, manakala laluan ke universiti belum menjanjikan peluang pekerjaan. Tambahan pula, kerajaan turut memperkenalkan pendidikan berdasarkan kemasukan khusus, diukur daripada tahap pengalaman (APEL) dan pendidikan sepanjang hayat.

Di sesetengah negara maju, mereka yang mempunyai kebolehan akademik akan tetap meneruskan pendidikan mereka di universiti manakala yang lainnya sanggup menangguhkannya apabila mendapat tawaran daripada pihak industri. Keadaan yang sama sedang berkembang di Malaysia, tetapi akhir-akhir ini sedikit terbantut kesan daripada keadaan ekonomi.

Akibat perbalahan politik yang berpanjangan, dakwaan melampau pihak-pihak tertentu, para pelabur mula memikirkan semula kecenderungan mereka untuk memperluaskan pelaburannya di Malaysia. Bahkan, ketika usaha merintis persetujuan Perjanjian Perdagangan Merentas Pasifik (TPPA) dimulakan, ada pihak menuduh kemasukan syarikat-syarikat antarabangsa akan mengakibatkan negara akan “terjajah semula.”

Pandangan tersebut lebih merupakan “kebimbangan buatan” walhal pihak berkenaan sedar, dalam ekonomi terbuka, Malaysia perlu juga melakukan pelaburan di luar negara dalam bidang-bidang tertentu, atau ada kepakaran. Malah, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, syarikat Malaysia yang melabur di luar negara adalah lebih banyak daripada syarikat asing yang melabur di Malaysia. Ertinya, sumber kekayaan ekonomi lebih besar di luar negara dan tentunya, Malaysia tidak hanya berperanan secara domestik semata-mata.

 

Bidang Teknikal dan Kemahiran

Kesannya, sejak beberapa tahun lalu Malaysia berusaha mentransformasikan bentuk sistem pendidikan dengan menetapkan pendidikan dalam bidang teknik, vokasional dan kemahiran lebih besar berbanding lain-lain bidang. Ditetapkan menjelang tahun 2020, sejumlah 40 peratus tenaga kerja adalah berlatarbelakangkan pendidikan teknik, vokasional dan kemahiran. Mereka ini akan mengisi peluang-peluang pekerjaan dalam dan luar negara.

Deklarasi Kuala Lumpur yang dimeterai pada bulan Ogos 2015 telah dipersetujui oleh negara-negara Asia Pasifik dan diterima sebagai tumpuan pendidikan pada masa depan oleh Pertubuhan pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Berdasarkan perbincangan para pakar, arah aliran pekerjaan masa depan adalah dalam bidang teknikal dan kemahiran, maka mobilisasi pekerjaan tertumpu kepada keperluan tersebut secara global. Inilah yang sedang berlaku sekarang di mana bidang latihan teknikal dan kemahiran sedang diberikan tumpuan di seluruh dunia.

Korea Selatan menetapkan antara 40 hingga 60 peratus pelajarnya mempelajari bidang teknikal dan kemahiran. Misalnya, nisbah pelajar pendidikan vokasional di Jerman ialah 60 peratus, Jepun 28 peratus dan Taiwan 70 peratus. Mereka inilah sebenarnya yang bakal mencorakkan perkembangan ekonomi masa depan negara. Atas inisiatif itu Malaysia sedang mengorak langkah dengan memperkenalkan transformasi pendidikan teknik dan vokasional serta berusaha memperkemaskan pendidikan sains, teknologi dan matematik (STEM), bukan mempertahankan nisbah 60:40 untuk sains dan sastera.

Nisbah pelajar dalam bidang vokasional di Malaysia masih di bawah 20 peratus, dan inilah sebenarnya punca terbesar berlakunya pengangguran dalam kalangan pelajar, terlalu menumpukan pengkhususan dalam bidang akademik. Peralihan itu memerlukan masa dan kesungguhan, asas yang diperlukan memerlukan modal yang besar maka iltizam akan berjaya sekiranya semua pihak melihat keperluannya secara mendalam, bukan memikirkan keuntungan jangka pendek.

Menyediakan peluang pendidikan dalam bidang akademik adalah lebih murah berbanding bidang teknikal dan vokasional. Tetapi, hasilnya, mismatching antara ilmu dan kemahiran akan dapat dipersempitkan manakala kemunculan Kolej Komuniti boleh menjadi pemangkin kepada penukaran kemahiran kerja. Kemahiran baharu boleh dipelajari secara modular, dan Kolej Komuniti pula mestilah mampu menawarkan kursus-kursus yang terbuka luas pasaran kerja, bukan sekadar kursus yang menumpukan teori dan akademik. – MAJALAH DAKWAH

 

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *