Home » Analitis » Iktibar peristiwa Uthman dibunuh

Iktibar peristiwa Uthman dibunuh

JIKA ada orang bertanya kepada saya apakah penyakit utama menjadi wabak penghancur kesejahteraan umat, tentu sekali jawabnya adu domba dan fitnah. Ternyata fitnah dan adu domba merupakan virus yang amat berbahaya jika dibiar membarah dalam masyarakat.

Lihatlah berapa banyak tamadun dan kuasa-kuasa besar dunia yang hancur akibat daripada budaya fitnah yang mendominasi kehidupan bangsanya. Berapa banyak juga kerajaan Islam yang jatuh akibat budaya fitnah yang begitu mengakar dalam jiwa umatnya. Tidak hairanlah jika Islam memandang fitnah lebih buruk daripada membunuh.

Jika ditelusuri sejarah silam, fenomena fitnahlah yang menjadi penyebab utama berlakunya peristiwa pemberontakan terbesar dalam sejarah awal Islam, khususnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Pemberontakan yang membawa kepada peristiwa pembunuhan Khalifah ketiga Saiyyidina Uthman bin ‘Affan ra adalah detik paling tragis dalam sejarah umat Islam hingga melarat-larat kepada pertelingkahan hebat di kalangan sahabat.

Mengikut riwayat yang dikemukakan oleh Saif bin Umar dalam buku Tarikh al-Tabariy, fitnah terbesar tersebut berlaku akibat kegagalan mengekang usaha pengadu-pengadu domba yang diketuai Abdullah bin Saba’ yang berketurunan Yahudi. Beliau dan pengikutnya bersungguh-sungguh bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuklah ke Kufah, Basrah hingga ke Mesir untuk menyesat dan mencetuskan keraguan terhadap kepemimpinan dan keIslaman Uthman yang berpusat di Madinah pada ketika itu.

Sebagai contoh, pertuduhan yang mengatakan Uthman tidak lagi mengamalkan Sunnah Nabi SAW sedangkan beliau adalah antara sahabat paling rapat dengan baginda Nabi SAW.

Hebatnya kesan gerakan penabur fitnah ini berjaya menimbulkan kesangsian dan keraguan di kalangan umat hinggakan gabenor-gabenor yang dilantik Khalifah juga tidak mampu menangani fenomena penyimpangan persepsi yang terbiak.

Lebih menyedihkan apabila gerakan adu domba ini berupaya membiakkan sejumlah kelompok pelampau yang akhirnya sanggup membunuh Saiyyidina Uthman dengan cara yang tidak berperikemanusiaan.

Pada hari Khalifah Uthman dibunuh, sejumlah 3,000 pemberontak mengepung rumah baginda ketika ramai para sahabat sedang menunaikan haji di Makkah. Baginda bukan sahaja dipukul dengan besi, bahkan mashaf al-Quran yang dibacanya ketika itu dipijak hingga darah baginda terpercik ke mashaf isteri baginda yang turut dipotong jarinya.

Demikianlah hakikat fitnah yang bukan sahaja menumpahkan darah seorang pemimpin agung umat, bahkan berupaya menghancurkan keharmonian dan meleburkan kestabilan agama dan negara.

Hari ini fitnah dan adu domba tidak sepayah dulu, hanya menggunakan jari-jemari, tidak memerlukan air liur mahupun tenaga yang banyak.

Papan kekunci komputer, laptop, Ipad mahupun telefon bimbit dengan pelbagai perisian canggih masa kini seperti whatsapp, facebook, twitter, istagram, blog dan instrumen-instrumen lain sering kali disalah guna bagi merangsang dan menyuburkan budaya negatif ini.

Sebab itulah satu-satu cerita amat mudah direka dan disensasikan dalam pelbagai bentuk dengan hanya menekan beberapa butang tanpa batasan. Rakyat marhain pula seolah-olah dipaksa menelan bulat-bulat segala cerita berbaur fitnah yang belumpun terbukti kebenarannya.

Lebih menyedihkan apabila setiap warga yang terlibat semacam tiada langsung nilai rasa bersalah atau takutkan Tuhan apabila mensensasikan satu-satu isu yang belum dipastikan benar.

Malah ada juga yang menjustifikasikan perbuatan fitnah dengan menganggap usaha menjatuhkan pihak lawan yang didakwanya zalim adalah lebih utama.

Sebab itulah Islam keras mencela golongan pencacai-pencacai dan pengadu domba. Amaran keras ALLAH jelas ternukil dalam al-Quran: “Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina, yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah. (Al-Qalam : 10-11).

Banyak hadis lain yang menunjukkan betapa seriusnya kesalahan mengadu-domba dan membudayakan fitnah dalam kehidupan. Bahkan dalam hadis yang lain Rasulullah jelas memberi indikasi bahawa orang yang mengadu-domba dan mereka-reka cerita tidak akan masuk syurga bahkan bakal berhadapan azab pedih di hari kiamat kelak.

Justeru usaha bersepadu harus segera dilakukan untuk membendung gejala fitnah daripada terus menyubur dalam masyarakat Islam ketika ini. Sudah tiba masanya usaha bimbingan dan pendidikan dilakukan secara menyeluruh agar umat sedar bahana fitnah dan adu domba versi moden ini.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *