KUALA LUMPUR – Sambutan luar biasa. Itu yang dapat disimpulkan kepada sambutan dan penganjuran program Iftar@KL 2019 pada 25 Mei lalu.
Kerjasama melibatkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menyaksikan ribuan pengunjung, khususnya warga kota membanjiri Jalan Raja di sini (berhadapan Bangunan Panggung Bandaraya DBKL).
Tidak ketinggalan ialah pengunjung bukan Muslim serta para pelancong dalam dan luar negara yang mahu merasai pengalaman unik berbuka puasa di luar berkonsepkan santai bersama orang ramai.
Rata rata pengunjung mengambil kesempatan cuti hujung minggu untuk hadir memeriahkan Iftar@KL 2019 ini.
Ia ditambah dengan kewujudan bazar Ramadan di Jalan Raja, yang sekaligus memudahkan pengunjung membeli keperluan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Turut disediakan ialah kaunter zakat dan surau bergerak.
Masing masing nyata tidak kekok, malah teruja untuk sama sama berbuka puasa, walaupun hanya sekadar duduk di atas hamparan tikar.
Selain berbuka puasa, turut diadakan ialah acara Malam 7 Likur@River of Life yang dianjurkan oleh DBKL, motivasi Ramadan oleh penceramah terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah, dan solat Tarawih beramai ramai.
Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Oamr Nik Ab Aziz turut berkesempatan menyampaikan tazkirah Ramadan pada jam 6 petang.
Antara tetamu kenamaan lain yang hadir termasuklah Menteri Pelancongan, YB Datuk Mohamadin Ketapi, serta Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Sri Syed Hussien Abd Kadir.
Penganjuran Iftar@KL 2019 antara lain bertujuan mengimarah dan memakmurkan Ramadan sebagai bulan ibadah serta keprihatinan sesama insan melalui amalan kebajikan, selain mengeratkan hubungan pelbagai kaum.
Untuk tahun ini, pihak penganjur menjangkakan seramai 90,000 orang akan menghadiri Iftar@Kl 2019, meningkat daripada 79,000 pada tahun lalu. Ia diadakan sebanyak enam kali iaitu pada setiap hujung minggu pada bulan Ramadan ini dengan kemuncaknya pada 25 Mei.
Dalam pada itu, Nik Omar ketika ditemui media berkata, program itu menggambarkan usaha untuk mempertautkan hubungan Silaturrahin antara Muslim dan bukan Muslim.
Beliau turut mengambil kesempatan menyeru masyarakat Muslim untuk mempertingkatkan ibadah dengan tibanya 10 malam terakhir Ramadan.
Sementara itu, YADIM menghantar hampir 100 kakitangan yang mula bertugas seawal jam 9 pagi bagi memastikan penganjuran Iftar@Kl 2019 mencapai tujuannya.
Selain bertugas mnyiapkan 5 periuk besar bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai, kakitangan YADIM turut terlibat mengendalikan tetamu kenamaan, menguruskan pihak media dan sebagainya.
KOMEN