Home » Langit Terbuka » Ibu tunggal dakwa sukar dapat bantuan: Kramat enggan beri kerjasama

Ibu tunggal dakwa sukar dapat bantuan: Kramat enggan beri kerjasama

MAIWP sentiasa peka dan prihatin membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik, tegas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP. - Foto Twitter

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memandangan serius dakwaan tiga ibu tunggal bahawa mereka tidak menerima bantuan dari institusi zakat atau agensi berkaitan walaupun sudah berkali-kali membuat permohonan.

Ibu tunggal itu juga mendakwa mereka terpaksa memohon bantuan gereja dalam meneruskan kelangsungan hidup.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, pihaknya telah berusaha menghubungi Kramat iaitu pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan sidang media menampilkan tiga wanita itu kelmarin.

Bagaimananpun, katanya, Kramat enggan bekerjasama menyalurkan maklumat butir peribadi tiga ibu tunggal itu kepada MAIWP supaya siasatan lanjut dapat dijalankan.

“Malangnya selepas tular video mereka, kita cuba hubungi Kramat namun mereka tidak mahu beri kerjasama dengan kami serta tidak ingin berkongsi maklumat tiga ibu tunggal itu apatah lagi mahu bertemu dengan kami.

“Kita tidak dapat sahkan identiti mereka sebab menggunakan nama samaran ‘Khaty’ jadi kita tidak boleh rujuk mahupun menyemak dalam sistem bantuan kami. Walaupun dia kata telah pindah ke Selangor dan pernah mendapat bantuan Baitulmal sebelum ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Tambah Mohd Nizam, ketiadaan maklumat mengenai identiti ketiga-tiga ibu tunggal itu menyukarkan usaha seterusnya kerana mereka bukan sahaja menggunakan nama samaran malah memakai niqab semasa sidang media berlangsung.

Katanya, dakwaan seumpama itu juga boleh menimbulkan keraguan sama ada apa yang diperkatakan itu itu benar-benar sahih atau hanya sekadar ingin memburukkan institusi agama Islam.

“Manakala dua individu lagi, sebagaimana tertera di dalam video tersebut sebagai ‘Lina’ dan ‘Amy’ turut menggunakan nama samaran dan tidak menyatakan tempat tinggal mereka. Mereka juga mengaku tidak pernah hadir di mana-mana pejabat zakat sebaliknya bertemu dengan individu yang dikatakan menguruskan zakat.

“Saya lihat sebenarnya isu seperti ini sering bangkit pada bulan Ramadan untuk mengalihkan perhatian orang ramai agar tidak membayar zakat kepada institusi zakat atau badan berautoriti untuk kutip zakat di sesebuah negeri.

“Walaubagaimanapun, saya ingin memaklumkan kepada masyarakat bahawa MAIWP sentiasa peka dan prihatin membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik yang kita sendiri dapat rasakan ekonomi sekarang tidak menentu.” katanya.

Mohd Nizam menjelaskan bahawa individu yang menguruskan zakat terdapat banyak kategori seperti ketua kampung, wakil penduduk dan pelbagai lagi yang menjadi pengantara kepada insitusi zakat.

Beliau berharap pihak Kramat dapat bekerjasama dalam memberikan butir peribadi ketiga-tiga ibu tunggal itu agar mereka segera mendapat bantuan dari Baitumal atau Lembaga Zakat Selangor (LPZ).

“Kita berharap supaya kemelut ini dapat diselesaikan secara berhemah dan baik, kalau boleh kita tidak mahu ibu tunggal ini menjelang Aidilfitri tiada makanan di atas meja. Harap isu ini dapat diselesaikan segera menjelang Aidilfitri agar mereka boleh beraya seperti orang lain.” katanya.

Kelmarin tiga ibu tunggal itu turut mendakwa mereka terpaksa memohon bantuan dari pihak gereja akibat dihimpit kesukaran hidup selepas bergelar ibu tunggal. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *