Home » Langit Terbuka » Ibu kepada penyamun kedai dobi serah anaknya kepada polis

Ibu kepada penyamun kedai dobi serah anaknya kepada polis

Wanita berkenaan di Facebook turut memohon maaf kepada semua pihak terutamanya mereka yang menjadi mangsa

ALOR SETAR – Ibu kepada salah seorang lelaki yang menyamun di kedai dobi layan diri di Sungai Petani, di sini menyerahkan anaknya yang berusia 21 tahun itu kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Muda pada pukul 1.30 petang tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, seorang lagi rakan suspek yang terlibat dalam kes itu masih diburu polis.

“Lelaki yang diserahkan sendiri oleh ibunya kepada polis, akan direman esok,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam catatan di Facebooknya, wanita berkenaan yang mengaku sebagai ibu kepada salah seorang suspek mendakwa, dia pergi ke balai polis untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

“Salah tetap salah walau pun anak. Mungkin kerana keadaan terpaksa menyebabkan dia bertindak begitu akibat pengaruh dengan kawan-kawan.

“Ibu mana yang mahu anaknya menjadi seperti ini? Tetapi tiada daya upaya saya, segalanya telah terjadi dan cuma yang tinggal kini hanya memanjatkan doa kepada ilahi agar diberikan ketenangan dan hidayah untuknya,’ kata wanita berkenaan ketika membalas pertanyaan salah seorang individu yang bertanya sama ada suspek tersebut merupakan anaknya.

Akhbar hari ini melaporkan tindakan dua remaja bersenjatakan parang melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM14,500 di dua lokasi di Sungai Petani semalam.

Wajah kedua-dua suspek yang jelas kelihatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai dobi layan diri dan kedai runcit tempat kejadian jenayah itu berlaku, tersebar di media sosial sekali gus menimbulkan kemarahan netizen.

Wanita itu dalam komen sama turut memohon maaf kepada semua pihak terutamanya kepada mereka yang menjadi mangsa.

Sementara itu dalam status yang dimuat naik, wanita tersebut mengakui merasa tidak kuat untuk menerima dugaan.

“Di manakah salah dan silapku sebagai seorang ibu? Telah ku curahkan segalanya buat anak-anak tersayang namun apakan daya segala pengorbanan dan penat lelah seornag ibu tidak diambil peduli.

“Mengapakah jalan mudah yang diambil? Andai ada salah silapku dalam mendidik mereka sebelum ini, kau berikanlah petunjuk buat mereka agar dibukakan pintu hati ke arah kebaikan. Sesungguhnya hanya padamu aku memnita pertolongan dan berserah,’ katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *