Home » Langit Terbuka » Ibu bapa tak perlu ragui status halal vaksin

Ibu bapa tak perlu ragui status halal vaksin

Terdapat ibu bapa memberi alasan tidak mahu memvaksin anak mereka kerana ragu dan tidak yakin tentang status halal produk berkenaan. (gambar hiasan)

BALIK PULAU – Masyarakat  khususnya ibu bapa tidak perlu bimbang tentang status vaksin yang diberikan kepada bayi dan kanak-kanak kerana semuanya  dijamin halal termasuk vaksin bakteria difteria, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sememangnya melakukan pemeriksaan ke atas vaksin-vaksin yang diberikan dan vaksin yang mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir tidak akan diterima.

Menurutnya, terdapat ibu bapa memberi alasan tidak mahu memvaksin anak mereka kerana ragu dan tidak yakin tentang status halal produk berkenaan.

“Vaksinasi yang disediakan oleh kerajaan semuanya halal dan Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini dan ibu bapa perlu rujuk perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) di sini, hari ini.

Dr Hilmi merujuk kes seorang  kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan yang disahkan meninggal dunia pada 14 Mac lepas  akibat dijangkiti bakteria difteria kerana tidak mendapat vaksinasi difteria sejak lahir atas permintaan keluarga.

Beliau berkata semua pihak tidak seharusnya mempercayai maklumat yang diperolehi daripada media sosial berhubung status halal vaksin sebaliknya perlu mempercayai nasihat dan khidmat pakar.

“Setakat ini di Malaysia hanya ada satu vaksin yang mengandungi DNA khinzir iaitu vaksin Rotavirus. Kerajaan tidak beli vaksin Rotavirus. Ia hanya terdapat di klinik-klinik swasta untuk merawat cirit birit,” katanya

Dr Hilmi berkata setiap tahun, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM120 juta untuk membeli  vaksin bagi 12 jenis penyakit.

Katanya, vaksin berkenaan diberikan secara percuma kepada bayi baru lahir sehingga usianya mencapai tiga tahun.- Bernama

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *