Home » Langit Terbuka » Ibadat haji: Kemampuan negara buat persediaan juga diambil kira

Ibadat haji: Kemampuan negara buat persediaan juga diambil kira

Kemampuan negara untuk membuat persediaan sekiranya Arab Saudi membenarkan jemaah dari luar negara melaksanakan haji tahun ini, turut perlu diambil kira, sebelum pengumuman mengenainya dibuat. - Foto Arab News

PUTRAJAYA – Jumlah kes Covid-19 di Arab Saudi yang melepasi angka 100,000 antara perkara yang menjadi pertimbangan bagi memutuskan sama ada Malaysia akan menghantar jemaah bagi menunaikan haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perkara itu menjadi sebahagian daripada perbincangan pelbagai pihak dan badan berautoriti negara.

“Kita tetap ikut tertib perbincangan demi perbincangan daripada pelbagai pihak untuk memutuskan yang terbaik bagi maslahah kepada rakyat.

“Ia termasuk melihat berkenaan ibadat haji yang terkait dengan istito’ah (kemampuan mengerjakan haji) daripada keamanan, selamat dari wabak dan memastikan kesihatan berada pada prestasi terbaik,” katanya.

Terdahulu, Zulkifli dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan sama ada Malaysia akan menghantar jemaahnya bagi menunaikan haji untuk tahun ini akan diketahui pada Khamis ini.

Selain isu haji, pengumuman akan turut dibuat mengenai prosedur operasi standard (SOP) solat jemaah dan solat Jumaat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Zulkifli berkata, kemampuan negara untuk membuat persediaan sekiranya Arab Saudi membenarkan jemaah dari luar negara melaksanakan haji tahun ini, turut perlu diambil kira.

“Semua perkara ini diambil kira, di samping masa tempoh masa dan kemampuan kita untuk membuat persediaan dalam situasi COVID-19 ini.

“Kami akan cuba garap sehabis baik dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan Khamis ini atau hari yang akan ditentukan,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *