Seremban – Program i-DEEN yang memberi penekanan kepada elemen psikospiritual berkesan membantu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam usaha meningkatkan potensi diri klien menjalani proses pemulihan.
Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, i-DEEN adalah pendekatan baharu diketengahkan agensi itu yang lebih holistik dan prihatin merangkumi aspek biologi, psikologi, sosial dan spiritual seseorang klien.
“AADK melaksanakan perkhidmatan merawat pulih individu yang terjebak dengan masalah penagihan dadah hampir empat dekad lamanya.
“Sejajar dengan perubahan semasa, yang mana trend penyalahgunaan dadah jenis sintetik lebih tinggi berbanding dadah organik dan pada masa sama terdapat juga pandangan baru yang menyatakan masalah penagihan adalah penyakit yang perlu dirawat.
“Menyedari cabaran itu, AADK mengubah pendekatan rawatan dan pemulihan menerusi i-DEEN yang lebih holistik dan prihatin dengan menekankan kepada aspek spiritual,” katanya selepas Majlis Penutup i-DEEN AADK Kebangsaan 2022 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini, petang semalam.
Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Abdul Malik
Sutekno berkata, program itu satu kaedah menterjemahkan pengetahuan dan kemahiran kepada semua klien di bawah Program Rawatan dan Pemulihan AADK.
Beliau berkata, klien diberi peluang menyerlahkan bakat yang dimiliki sekali gus meningkatkan kesedaran dan keyakinan mereka bahawa perkara yang baik akan menghasilkan manfaat yang baik.
“Ini dapat digunakan sebagai modal untuk kembali ke dalam masyarakat dan meraih semula kepercayaan masyarakat serta menyumbang bakti kepada pembangunan insan dan kebaikan diri sendiri,” katanya.
Menurutnya, setakat ini terdapat lebih 4,000 klien AADK ditempatkan di 28 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan 70,000 pula menjalani pemulihan dalam komuniti di seluruh negara. – Harian Metro
KOMEN