Home » Langit Terbuka » Hukum undi dan lantik pemimpin bukan Muslim dalam pilihan raya adalah harus – Mufti Wilayah

Hukum undi dan lantik pemimpin bukan Muslim dalam pilihan raya adalah harus – Mufti Wilayah

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR: Hukum mengundi bukan Muslim dalam pilihan raya dan melantik mereka sebagai pemimpin adalah harus, selagi tidak memberi ancaman kepada kemuliaan Islam, amanah dan memiliki kepakaran dalam melaksanakan tugas.

Perkara itu diperincikan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataannya.

“Hasil penelitian yang dilakukan, kami dapati tiada dalil qath’ie  (muktamad) yang melarang untuk mengundi calon bukan Muslim dalam PRU di Malaysia dan melantik mereka sebagai pemimpin.

“Ayat-ayat al-Quran yang dijadikan hujah untuk mengharamkan pemilihan bukan Muslim sebagai wakil rakyat, apabila diteliti sebenarnya merujuk kepada orang-orang kafir yang memusuhi Islam dan penganutnya,” jelasnya.

Menurut Zulkifli, bagi golongan bukan Islam yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan tersebut tidak terpakai.

“Hal ini termasuk di bawah topik siyasah syar’iyyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti,” jelasnya.

Sementara itu, menurut beliau, beberapa faktor harus diambil kira dalam membuat keputusan sebelum mengundi dan memilih, selain memastikan jawatan tertinggi negara seperti Perdana Menteri, portfolio hal ehwal Islam dan pertahanan negara adalah kekal disandang oleh orang Muslim yang berkelayakan sahaja.

Zulkifli juga membuat kenyataan itu dengan menilai kontrak sosial Muslim dan non-Muslim, implikasi dalam masyarakat majmuk dari sudut fiqh, sandaran terhadap masyarakat Malaysia dalam sebuah negara demokratik, dan konsep kewarganegaraan dalam sebuah negara bangsa. – ASTRO AWANI

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *