Home » Persuasif » Hukum Mempercayai Zodiak

Hukum Mempercayai Zodiak

“Demo tak kenal bare! (Kamu tak pandai menilai barang)”. Hidup ini kadangkala seperti pelik dan terbalik. Contohnya, manusia cukup obses dengan bintang atau zodiak hingga sampai tahap memuja dan beriktikad dengannya.

Apa yang menjadi masalah, Pencipta bintang itu iaitu Allah SWT dilupa dan diabaikan. Sepatutnya Dia yang wajib diimani, bukannya bersungguh-sungguh memuja hasil ciptaan-Nya. Memey tak kenal bare!.

Dalam Islam terdapat kaedah Sadd al-Zara’ie iaitu bermaksud menutup pintu-pintu yang boleh membawa kepada perkara diharamkan. Ia seperti larangan berkhalwat dengan ajnabi untuk mengelakkan berzina. Larangan seorang lelaki meminang pinangan orang lain untuk mengelak berlakunya permusuhan dan kebencian.

Bagaimanapun manusia yang kononnya panjang akal, licik mencari 1,001 alasan untuk menghalalkan perbuatannya. Antaranya, mempercayai ramalan zodiak dan tilikan bomoh bahawa kedua-duanya tidak salah kerana ia bertujuan untuk hiburan semata-mata. Malah ada segelintir pula mengatakan ia antara kaedah usaha dan ikhtiar.

Malah ada yang lebih tidak bertanggungjawab membacakan hadis, mafhumnya: “Setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati” – dengan memberikan tafsiran sendiri bahawa berjumpa tukang tilik itu sebahagian daripada ubat kepada setiap penyakit itu!

Ini antara intipati perbincangan dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda bertajuk: “Hukum Mempercayai Zodiak” dengan panelisnya, Pengasas Akademi Al-Bayan, Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan dan Ustaz Arif Adzwan Mohd. Ali dari Bahagian Khidmat Bakti YADIM sebagai moderator.

Panelisnya menegaskan bahawa ‘cut off’ dalam isu mempercayai dengan penuh keyakinan ramalan zodiak atau tilikan bomoh boleh membawa kepada kekufuran. Tiada sesiapa pun di dunia ini mengetahui apa yang bakal berlaku keesokan harinya, sementelah lagi perkara-perkara ghaib.

Ia dijelaskan dengan sejelas-jelasnya oleh Allah dalam firman-Nya:

Surah Luqman: 34: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah, hanya milik-Nya bilakah berlakunya kiamat, dan Dia Mengetahui apa yang ada dalam rahim-rahim. Tiada seorang pun yang tahu apa yang dia akan lakukan pada hari esok, dan tiada seorang pun tahu di mana dia akan menemui kematian.”

Surah al-Naml: 65: Maksudnya: “Katakanlah, tidak ada satupun di langit dan di bumi yang mengetahui hal ghaib, kecuali Allah.”

Ustaz Nur Muhammad Hadi juga menyatakan beberapa hadis Rasulullah SAW mengenai isu sama:

“Sesiapa mendatangi ‘arraaf (dukun) dan bertanya kepadanya akan sesuatu, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam.” – Riwayat Muslim, no. 125.

“Sesiapa mendatangi kahin atau arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (al-Quran).”  Riwayat Ahmad, no. 9536.

YADIM: Bagaimana pula sesetengah pihak menganggap mempercayai ramalan zodiak atau tilikan nasib seperti banyak tular dalam laman sosial media hanya sekadar untuk hiburan, tiada niat lain?

Nur Mohammad Hadi: Kalau boleh tutuplah ruang-ruang yang boleh membawa kekufuran, jangan sekadar nak suka-suka, tiada faedahnya. Takdir Allah bukan bergantung kepada zodiak atau sebarang ramalan.

Perkara suka-suka inilah yang disukai oleh syaitan. Makhluk ini tidak hasut manusia secara direct, dia tahu manusia ni juga bijak, jadi dia gunalah strategi tertentu. Dia sediakan platform yang nampak seperti tidak berdosa. Kononnya boleh jika sekadar untuk hiburan sahaja.

Pada peringkat awal, cuba-cuba dulu, kemudian secara kebetulan bila ia jadi seperti betul. Manusia akan jadi seronok dan mulai percaya bahawa nasibnya bergantung kepada bulan dan bintang (zodiak) bukannya kerana takdir Allah. Ini yang bahayanya dan jerat syaitan sudah mula mengena!.

YADIM: Adakah salah belajar ilmu sihir atau ia jadi salah bila mengamalkannya?

Nur  Mohammad Hadi: Terdapat dua cabang ilmu yang perlu diketahui iaitu belajar ilmu yang memberi manfaat dan pelajari ilmu yang tidak memberi manfaat. Kena pastikan apa tujuan mempelajari ilmu itu.

Jika ia bertujuan mengubati seperti mengetahui selok-belok kaedah sihir itu dibuat. Dalam kes ini ia tidak menjadi masalah kerana ia telah bertukar jadi bermanfaat. Contoh paling dekat ialah ahli-ahli ruqyah. Sebenarnya bukan semua ilmu boleh dipelajari ada kaedahnya iaitu kena lengkapi dan mantapkan diri dengan ilmu fardhu ain terlebih dahulu.

YADIM: Pada pandangan ustaz, kenapa masih ada orang Islam yang mempercayai benda-benda ini?

Nur Mohamad Hadi: Pandangan ulama, jika sekadar suka-suka bukan setakat makruh tapi boleh jatuh hukum fasik. Kecenderungan ini berlaku kerana masalah pegangan akidah. Walaupun suka-suka tapi tetap ada sekelumit mempercayai unsur selain daripada Allah.

Sila rujuk kembali firman Allah dalam Surah al-Namlu:65. Jika yakin kepada Allah, maka mohonlah kepada Allah kerana Dia sahaja yang memberikan kebaikan dan keburukan.

YADIM: Bagaimana cara nak tebalkan keyakinan kepada Allah termasuk menambah khusyuk dalam solat dan setiap ibadah.

Nur Mohamamad Hadi:

  1. Mesti ada sifat membesarkan Allah – Ia dapat datangkan sedikit khusyuk, iaitu fokus dan ada rasa, sama macam makan nasi jika tiada rasa – apa gunanya. Begitu juga ibadah bila tiada rasa apa maknanya?.
  2. Mesti ada perasaan takut – Jika aku buat tidak sempurna, takut Allah akan kurangkan ganjaran pahala. Contoh seperti pekerja, jika dia tiada perasaan takut – ikut suka dia nak datang kerja lewat. Pelajar nak ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, jika takut gagal maka dia terpaksa buat persediaan rapi.
  3. Mesti ada harapan – Meskipun ada perasaan takut (point 2) dia masih perlu menagih pengharapan agar Allah sekurang-kurangnya menerima ibadah yang dilakukan.
  4. Mesti ada perasaan malu – Allah Maha Pemurah dan Penyanyang dengan beri aku bermacam-macam nikmat, namun aku tidak pernah melaksanakan ibadah kepada-Nya dengan penuh kesempurnaan.

Ahmad Tarmizi Abdul Rahim ialah mantan Pengarang meja Agama Utusan Malaysia. Berpengalaman luas dalam penulisan dan kewartawanan, beliau kini menulis di pelbagai platform.

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *