KUALA LUMPUR – Â Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH) yakin hubungan baik di antara Malaysia dan Arab Saudi akan membantu mempercepatkan usaha pembukaan sempadan negara bagi membolehkan rakyat negara ini mengerjakan ibadah umrah dalam masa terdekat.
Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata ini kerana sumbangan satu juta dos vaksin COVID-19 dan peralatan perubatan lain oleh Arab Saudi dapat mempercepatkan Malaysia mencapai imuniti berkelompok dan membuka semula sempadan negara.
Katanya, PAPUH sangat menghargai titah pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang mengarahkan Pusat Tindakan Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief) untuk segera menyalurkan bantuan COVID-19 kepada Malaysia.
“Ini menunjukkan hubungan yang begitu akrab di antara Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Malaysia apabila Penjaga Dua Masjid Suci itu menitahkan penyaluran satu juta dos vaksin COVID-19 dan peralatan perubatan lain bagi membantu Malaysia menangani kesan pandemik.
“Hubungan yang akrab, terutama di antara Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman begitu terserlah kerana tanpa hubungan yang baik, pastinya sukar untuk mendapatkan bantuan dan perkenan dari negara berkenaan,” katanya dalam kenyataan, pada 28 Julai.
Ahad lalu, Hishammuddin mengumumkan Kerajaan Arab Saudi bersetuju menyalurkan sumbangan kepada Malaysia, bagi membantu negara ini memerangi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meruncing.
Bantuan yang diperoleh hasil perbincangan di antara Hishammuddin dan Mohammad melalui panggilan telefon itu antara lain merangkumi sumbangan dalam bentuk satu juta dos vaksin COVID-19.
Sementara itu, Razali berkata, hubungan yang baik itu terus terserlah apabila Malaysia turut mendapat keistimewaan apabila Arab Saudi mengumumkan pembukaan sempadan negara mereka bagi jemaah umrah antarabangsa bermula 10 Ogos depan.
Katanya, berdasarkan pengumuman itu, Malaysia tidak termasuk dalam senarai sembilan negara yang dihalang masuk ke Arab Saudi melalui penerbangan terus.
“Ini juga satu menifestasi hubungan baik antara kedua-dua negara. Sumbangan peralatan perubatan dan vaksin COVID-19 dari Arab Saudi pastinya akan dapat mempercepatkan Malaysia mencapai imuniti kelompok, sekali gus pembukaan sempadan negara.
“PAPUH yakin kerajaan Malaysia akan berusaha membuka semula pintu sempadan negara dalam masa terdekat bagi membolehkan pelancong asing masuk di samping membolehkan rakyat Malaysia mengerjakan ibadah umrah,” katanya.
Antara syarat yang diumumkan Arab Saudi untuk jemaah umrah antarabangsa ialah penerbangan langsung dibenarkan dari semua negara kecuali India, Pakistan, Indonesia, Mesir, Turki, Argentina, Brazil, Afrika Selatan dan Lubnan.
Jemaah dikehendaki menjalani kuarantin selama 14 hari di negara ketiga sebelum tiba di negara itu.
 Selain itu, jemaah diwajibkan menerima vaksinasi COVID-19 yang lengkap sama ada vaksin Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson (J&J).
Â
Imunisasi lengkap membabitkan vaksin keluaran China pula dikehendaki berserta dos ‘penggalak’ sama ada suntikan Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau J&J.
Jemaah 18 tahun ke atas juga dibenarkan dengan ketibaan mereka melalui agensi umrah yang ditauliahkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. – Berita Harian
Â
KOMEN