KUALA LUMPUR 29 Jan. – Taiwan berharap lebih ramai pelancong beragama Islam tidak ragu-ragu menjadikannya sebagai destinasi pelancongan utama mereka selaras dengan pengiktirafan halal yang diberikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap lebih 130 hotel dan restoran di negara itu.
Ketua Misi Ekonomi dan Kebudayaan Pejabat Perwakilan Taiwan di Malaysia, James Chang Chi-Ping berkata, pada tahun lalu terdapat lebih 554,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi negara itu dengan satu pertiga daripadanya beragama Islam.
“Jadi saya mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari Malaysia untuk mengikuti percutian ke destinasi menarik di Taiwan dan pada masa yang sama, menikmati perkembangan sektor pelancongan halal kami,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui di sini hari ini.
April tahun lalu, menurut beliau, Taiwan menubuhkan Pusat Promosi Halal dengan kerjasama Jakim bagi mempromosikan lebih banyak pelaburan dan perdagangan dalam industri halal di antara kedua-dua negara.
Sebagai bukti komitmen Taiwan dalam industri itu, tahun lalu juga, sebanyak 45 delegasi perniagaan dari negara itu menyertai ekspo dan pameran perdagangan di Malaysia dan berjaya memperoleh sijil halal daripada Jakim yang sekali gus membuka ruang untuk melebarkan sayap ke dalam perniagaan halal.
Menurut James, industri halal semakin berkembang di Taiwan meliputi sektor perhotelan dan spa, makanan dan produk termasuk kosmetik.
Tambahnya, komuniti perniagaan di negara itu sangat berminat untuk meneruskan pelaburan di sini dan memanfaatkan negara ini sebagai pintu gerbang ke pasaran Muslim yang luas meliputi 1.8 bilion orang.
“Malaysia boleh membantu Taiwan untuk mengeksport produk ke pasaran negara Islam yang lain,” katanya.
Sementara itu, pada tahun lalu, Taiwan menjadi negara pelaburan keempat terbesar Malaysia dan rakan perdagangan kelapan terbesar dengan negara ini.
Jumlah dagangan Taiwan ke Malaysia pula mencatat rekod tertinggi tahun lalu iaitu sebanyak AS$17.5 bilion, meningkat daripada AS$14.1 bilion pada 2016, iaitu peningkatan sebanyak 24 peratus.
James berkata, bukan sahaja dari segi nilai dagangan bahkan nilai pelaburan Taiwan di Malaysia juga meningkat daripada AS$110 juta pada 2016 kepada anggaran AS$300 juta tahun lalu, dengan jumlah pelaburan negara itu setakat ini mencecah AS$12.3 bilion.
“Jadi kita sangat gembira menyaksikan hubungan dagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara kini menunjukkan trend yang semakin erat dan mengukuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE
KOMEN