Home » Langit Terbuka » Hospital Gaza semakin kritikal

Hospital Gaza semakin kritikal

Bekalan ubat-ubatan di hospital Gaza semakin meruncing dan ia memberi impak besar kepada pesakit di wilayah itu.

GENTING GAZA – Hospital di wilayah Gaza kini beroperasi di bawah keadaan kecemasan akibat kekurangan bekalan ubat.

Semalam, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan mereka telah kehabisan hampir separuh stok ubat di seluruh Gaza dan bekalan tersebut tidak dapat dihantar kerana kepungan Israel.

“Krisis ubat-ubatan semakin buruk kerana sekatan ke atas Kementerian Kesihatan dan penutupan lintasan sempadan secara berterusan. Kementerian gagal mendapatkan bekalan ubat diperlukan.

“Sejak 2007, pendudukan Israel telah menghalang pesakit dari meninggalkan Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tindakan ini melanggar undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva Keempat. Mereka menyasarkan semua pesakit terutamanya mereka yang mengalami masalah buah pinggang, barah dan kecacatan kongenital,” kata jurucakapnya, Munir al-Barsh.

Data pada 2017 menunjukkan 54 pesakit meninggal dunia kerana tidak mendapat permit perjalanan Israel.

Susulan keadaan yang semakin meruncing, penduduk di wilayah Gaza turut menyuarakan kebimbangan terhadap nasib ahli keluarga mereka dan menggesa masyarakat antarabangsa menamatkan penderitaan itu dengan memberi akses untuk bergerak serta mendapatkan rawatan perubatan.

Bulan lalu, tujuh pusat perubatan di beberapa bahagian di Gaza terpaksa ditutup selepas kehabisan bahan api untuk menghidupkan penjana elektrik.

Sebelum ini, Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran krisis bahan api tersebut akan memberi impak kepada seluruh hospital di wilayah terbabit. – Press TV

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *