Home » Langit Terbuka » Hospital ATM Cox’s Bazar berjaya bedah pelarian

Hospital ATM Cox’s Bazar berjaya bedah pelarian

PANGLIMA ATM Datuk Sri Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyerahkan bendera kepada Komander Misi Tim Operasi Starlight-, Komander Misi, Brig Jen Dr Adnan Abdullah (kanan) yang berlepas ke Cox's Bazar untuk mengambil alih Hospital Medan Malaysia (HMM) baru-baru ini. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Pertama kali dibuka secara rasmi semalam, Hospital Medan Malaysia di Ukhia di Cox’s Bazar, Bangladesh yang dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya melakukan satu pembedahan pada kelenjar leher seorang pelarian Rohingya yang dijangkiti kuman.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor, berkata, kejayaan itu membuktikan ATM sudah bersedia untuk memberikan khidmat tawaran dan pemulihan kepada pelarian Rohingya, mahu pun penduduk tempatan, iaitu warga Bangladesh sendiri.

Katanya, sehingga kini, Hospital Medan Malaysia sudah menjadi hospital rujukan utama di sana, yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti dua bilik bedah, bilik rawatan dan wad bersalin, unit kecemasan, makmal pengimbasan sinar X (x-ray), unit kesihatan awam, unit pergigian, farmasi, kemudahan wad untuk lelaki dan wanita, serta kanak-kanak, selain kemudahan unit untuk merawat air.

“Kemudahan yang ada di hospital ini menjadikan ia hospital medan tahap tinggi pertama yang berjaya kita sediakan.

“Malah, dengan kemudahan sedia ada ini juga kita sudah bersedia untuk menerima pesakit luar sehingga 300 sehari selain menerima kemasukan pesakit untuk mendapatkan rawatan sehingga 100 pesakit sehari,” katanya dalam program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3, di Sri Pentas, hari ini.

Raja Mohamed Affandi berkata, Hospital Medan Malaysia berkenaan digerakkan dengan kekuatan seramai 58 orang, terdiri daripada tujuh pakar bedah daripada kalangan pegawai perubatan ATM, manakala selebihnya dibantu oleh jururawat serta penolong perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, tujuh pakar ini mempunyai kepakaran dalam bidang pembedahan, bius, kecemasan, sakit puan, perubatan keluarga, pediatrik serta kesihatan awam.

“Jika mengikut kepada kepakaran ini, tim operasi ini sudah lengkap dan kita bersedia penuh untuk memberikan khidmat rawatan terbaik di sana.

“Malah, kita yakin ia mampu dilaksanakan berikutan pengalaman ATM dalam mengendalikan hospital medan sebelum ini seperti Timur Leste, Flores, Acej, Batagram (Pakistan), Afghanistan, Sahara Barat, Tacloban (Filipina) selain banyak tempat lain lagi,” katanya.

Raja Mohamed Affand berkata, bagi membolehkan operasi hospital berkenaan berjalan lancar, pihaknya akan mewujudkan satu lagi tim operasi yang akan menggantikan tim pertama iaitu Tim Operasi Startlight-1 yang kini menggerakkan operasi hospital berkenaan.

“Buat masa ini, kita sudah pun mengenal pasti tim pengganti kumpulan berkenaan. Kita jangka, operasi tim berkenaan akan digantikan selepas enam bulan menerusi kaedah penggiliran.

“Ini bagi memastikan operasi di hospital itu dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata walaupun, hospital medan berkenaan secara rasminya diambil alih oleh ATM, semalam, namun sebenarnya pihak ATM sudah pun menjalankan operasi memberi rawatan di sana sejak Disember lalu.

“Menerusi tempoh itu sehingga 17 Februari lalu, kita sudah memberikan rawatan kepada 6,500 pesakit termasuk menerima seramai 625 pesakit yang mendapatkan rawatan di wad,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *