MELAKA – Pengusaha pusat-pusat hiburan di negeri ini diingatkan supaya menghormati bulan Ramadan dengan tidak menganjurkan sebarang program yang secara terang-terangan boleh menarik perhatian umat Islam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Rahimin Bani berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi menghindari keterlibatan umat Islam di negeri ini.
“Kita ingatkan supaya umat Islam tidak mengunjungi pusat-pusat hiburan sepanjang bulan Ramadan ini bagi mengambil manfaat keberkatan bulan Ramadan.
“Kita juga telah mengaturkan jadual untuk terus menguatkuasakan undang-undang di pusat-pusat hiburan,” katanya.
Menurutnya, sekiranya terdapat umat Islam yang melakukan perkara-perkara bercanggah dengan Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 seperti di bawah Seksyen 50 minum arak, Jaim tidak akan teragak-agak melaksanakan undang-undang sedia ada.
Bagi kesalahan itu, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Mana-mana individu yang membuat, menjual, menghadiahkan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa arak atau minuman yang memabukkan adalah merupakan suatu kesalahan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 24 bulan atau kedua-duanya sekali. – SINAR HARIAN
KOMEN