GEORGE TOWN: Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya jangan jadikan agama Islam sebagai polemik politik perlu dihormati serta dipatuhi oleh semua rakyat negara ini, terutama pemimpin parti politik.
Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata titah baginda itu tentunya lahir daripada keinsafan tentang betapa pentingnya kesucian agama Islam dipelihara, di samping mengekalkan keharmonian antara warganegara berbilang kaum.
“Sebagai seorang yang berkecimpung di dalam bidak kefatwaan selama hampir satu dekad saya suka mengingatkan semua pihak supaya tidak mengheret agama ke dalam kancah politik kepartian, ini adalah agar imej agama Islam tidak tercemar kerana dikaitkan dengan pandangan politik yang mungkin tersalah disebabkan kelemahan manusia.
“Memang politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam tetapi politik yang dimaksudkan di sini ialah usaha-usaha untuk melaksanakan keadilan, kebajikan dan kemakmuran menerusi pemerintahan untuk kepentingan rakyat jelata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas titah Al-Sultan Abdullah yang mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar tidak menjadikan isu agama sebagai polemik politik.
Dalam titah sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong semalam, Seri Paduka turut mengajak semua pihak membuang agenda retorik perpecahan dengan bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan lebih baik.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata dari sudut lain sistem demokrasi di dalam pemerintahan bukan sahaja ditandai dalam bentuk pilihan raya yang bebas, malah ia mesti diterjemahkan ke dalam usaha menghormati hak-hak seluruh warganegara termasuk golongan minoriti.
Katanya Islam itu mesti dilihat lebih besar daripada sebuah parti politik atau mana-mana organisasi yang ditubuhkan manusia dan Islam juga adalah satu misi Ilahi yang suci manakala parti politik adalah ciptaan manusia yang terdedah kepada kelemahan dan kekurangan.
“Umat Islam wajib terikat kepada prinsip-prinsip Islam, tetapi mereka diharuskan memilih mana-mana parti untuk diikuti. Seorang Muslim yang enggan mematuhi mana-mana rukun Islam adalah berdosa, tetapi tidak mengundi parti tertentu tidaklah salah di sisi Islam,” katanya. — AlHijrah Online
KOMEN