PARA Ulama’ mempunyai peranan khusus mereka ketika memberi pandangan berdasarkan ilmu mereka, manakala para pemimpin Ulul Amri mempunyai kuasa membuat keputusan selepas mendengar pandangan para ulama’.
Bila pemimpin berijtihad, bukan ikut suka hati dan nafsu, mereka timbang ilmu, fikirkan maslahat rakyat; keselamatan mereka dan kepentingan awam, serta memastikan keputusan tidak lari dari undang-undang dan perlembagaan persekutuan.
Contohnya, pembinaan Masjid MADANI oleh Jakel yang penuh liku selama lebih 10 tahun akhirnya selesai hasil muafakat dan semangat kerjasama.
وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلً
“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).” (Surah al-Nisa’: 83)
Majlis Pecah Tanah yang berlangsung di 10 malam terakhir Ramadan atas inisiatif YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim membuktikan Kerajaan MADANI serius dan tegas dalam prinsip, hormat undang-undang, tapi tetap bijaksana dalam tindakan.
Syabas dan tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, agensi kerjaan, dan semua yang bertungkus-lumus merealisasikan projek ini.
Pembinaan masjid ini tidak boleh dibiarkan tertangguh lagi.
Pembinaan sebuah masjid bagus kalau dapat meninggalkan kenangan manis buat semua. Tiada unsur kebencian, dendam dan kemarahan.
Malah penyebab kemanisan Hidayah Allah SWT.
Meriah, penuh simbolik, majlis ini disaksikan tokoh korporat, agamawan, dan masyarakat pelbagai kaum.
Kehadiran pasukan keselamatan yang ramai pula jelas menggambarkan bahawa negara ini berdaulat dan undang-undang mesti dihormati.
Tahniah juga kepada keluarga Jakel, terutama bonda dan 12 waris yang meneruskan legasi Almarhum Mohamed Jakel bin Ahmad. Masjid ini bukan sekadar binaan, tetapi lambang perpaduan, keberkatan, dan komitmen menjaga amanah demi masyarakat dan negara. – Al Hijrah Online
Artikel ini ditulis oleh Datuk Hassanuddin Mohd Yunus, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
KOMEN