SAUDARA PENGARANG,
KITA dikejutkan dengan beberapa tindakan segelintir masyarakat yang melemparkan kata-kata penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW. Perbuatan ini berlaku sejak dahulu lagi.
Allah SWT mengecam mereka yang melakukan kejahatan, maksiat termasuk penghinaan terhadap Allah dan rasulNya. Hal ini dijelaskan dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.” (Surah al-Ahzab: ayat 57)
Al-Qadi Iyadh al-Maliki menceritakan sebuah kisah dalam kitabnya, al-Syifa bi Takrif Huquq al-Mustafa, seorang penyair dihukum bunuh oleh hakim kerana menghina dan mempersendakan Allah, para nabi dan Nabi Muhammad SAW. Ketika jenazahnya diangkat selepas hukuman bunuh, jasadnya berpaling dari kiblat dengan sendirinya lalu disahut dengan laungan takbir oleh mereka yang menyaksikan hal tersebut sebagai tanda nyata mengenai kekuasaan dan laknat Allah terhadap mereka yang menghina nabi.
Menurut Michael H. Hart yang mengarang The 100 A Ranking of The Most Influential Persons in History, nama Nabi Muhammad SAW dinobatkan sebagai manusia paling berpengaruh sepanjang sejarah kemanusiaan. Berdakwah selama hampir 23 tahun namun kesan ajarannya kekal dan diamalkan sehingga hari ini.
Pengiktirafan ini sudah cukup memberi mesej jelas bahawa Nabi Muhammad SAW adalah insan yang mulia dan pembawa rahmat, Justeru, tidak boleh diterima akal insan semulia ini dihina dan dicerca melainkan ia datang daripada manusia yang hilang kewarasan atau pertimbangan akal untuk berfikir.
Kegagalan umat Islam mengenal keperibadian Nabi Muhammad SAW adalah faktor yang membuatkan mereka tidak menghargai dan memberikan penghormatan selayaknya kepada nabi akhir zaman ini. Kewujudan karya-karya yang banyak dalam perpustakaan mengenai keperibadian baginda, kelebihan dan keistimewaan adalah tanda kesungguhan ulama Islam menerapkan kasih sayang dan hormat kepada nabi dalam kalangan Muslim.
Justeru, ibu bapa, pendidik, entiti pendidikan dan kerajaan perlu memainkan peranan dalam menyemai rasa kasih sayang, kesyukuran, kehormatan dan adab kepada nabi menerusi pelbagai media sosial dan media perdana sebagai usaha yang selari dengan anjuran Allah SWT kepada kita. – Utusan Malaysia
DR. MOHD. SHAHID MOHD. NOH
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya
KOMEN