KUALA LUMPUR – Akibat menghantar komunikasi jelik dan menghina agama Islam menerusi akaun Facebook, seorang penyelia kilang perabot didenda RM6,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini (29 Jun).
Koh Teen Ern, 37, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan bersalah, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim MM Edwin Paramjothy.
Lelaki itu didakwa memuat naik satu hantaran di ruangan komen yang menghina agama Islam menggunakan akaun Facebook miliknya iaitu ‘Tim Koh’ dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara 2.47 pagi, 20 Disember 2019 dan 9.56 pagi, 21 Disember 2019 mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, OKS yang diwakili peguam Wong Chiang Kiat merayu hukuman denda yang minimum, namun Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi memohon hukuman berbentuk pengajaran kepada OKS, kerana tindakannya telah mencetuskan kemarahan masyarakat.
“Hukuman berbentuk pengajaran boleh menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia agar lebih sensitif dan berhati-hati ketika ingin menyuarakan pendapat di media sosial. Ribuan orang dapat melihat dan mengakses hantaran OKS tersebut,” katanya.
OKS membayar denda berkenaan. – Harian Metro
KOMEN