Oleh : Mohd Hafizuddin Mohd Sidek
Dalam bahasa Arab, perkataan sara ( سرى ) bermaksud melakukan perjalanan pada waktu malam. Sementara perkataan ( أسرى ), kata terbitannya adalah ( إسراء ) yang bermaksud memperjalankan seseorang di waktu malam. Manakala perkataan mikraj ( معراج ) pula bermaksud laluan ke atas atau tangga yang dilalui oleh Nabi SAW dari Baitul Maqdis ke langit yang pertama dan seterusnya.
Dalam al-Quran, kisah ini diceritakan oleh Allah pada ayat pertama surah al-Isra’ ayat 1:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Antara hikmah Allah memperjalankan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dan tidak pada waktu siang adalah kerana waktu malam merupakan waktu terbaik untuk seseorang hamba mendekatkan dirinya kepada Allah dengan ibadah seperti solat, doa, zikir, membaca al-Quran, bermunajat dan sebagainya. Malah kesan waktu ini terhadap jiwa seseorang terutama pada akhir malam yang sunyi, di saat manusia lain dibuai mimpi adalah berbeza dengan kesan ibadah yang sama di siang hari.
Seterusnya hikmah Allah memperjalankan Nabi Muhammad saw dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa terlebih dahulu dan tidak terus naik (mikraj) ke langit dari Masjid al-Haram adalah untuk menzahirkan kebenaran kisah Nabi SAW naik ke langit. Jika Nabi saw terus naik ke langit dari Masjid al-Haram, maka tidak ada cara atau jalan untuk baginda SAW menentang orang-orang Quraish yang tidak percayakan kisah baginda naik ke langit tersebut. Kaum Quraish yang tidak mempercayai naiknya Nabi SAW ke langit dapat terus bertanyakan kepada baginda SAW secara khusus mengenai gambaran masjid al-Aqsa yang baginda SAW solat di dalamnya, kerana di kalangan orang-orang Quraish, ada di antara mereka yang telah sampai di Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa, sedangkan Nabi SAW dalam hidupnya tidak pernah sampai di Baitul Maqdis kecuali pada malam tersebut. Kemudian apabila Baginda dapat memberi gambaran tentang Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa dengan jelas dan tepat, maka bertambahlah keimanan orang-orang yang beriman, dan bertambahlah kesengsaraan orang-orang yang menentang Baginda SAW.
Hikmah lain di sebalik Nabi SAW sampai ke Baitul Maqdis adalah untuk menunjukkan bahawa perlunya umat Islam mempertahankan tanah suci ini sepanjang zaman dari musuh-musuh yang ingin merampasnya. Bahkan kemuliaan tanah suci ini bertambah apabila Nabi SAW dihimpunkan bersama-sama dengan keseluruhan nabi-nabi sebelumnya yang berjumlah seramai 124,00 orang. Malah Nabi SAW sendiri menjadi imam solat kepada mereka.
Di Baitul Maqdis, baginda SAW juga telah diberi pilihan oleh Jibril untuk memilih salah satu dari bekas yang mengandungi susu dan arak untuk baginda minum. Baginda SAW kemudiannya memilih bekas yang mengandungi susu. Hikmah dari peristiwa ini adalah untuk menunjukkan bahawa agama yang dibawa oleh baginda adalah agama fitrah yang sesuai dengan kehidupan manusia seperti susu yang sesuai dengan manusia sejak manusia dilahirkan lagi.
Kemudian apabila baginda sampai di setiap pintu langit, pintu-pintu tersebut tertutup sebelum diizinkan kepada baginda dan malaikat Jibril untuk melalui pintu tersebut. Hikmahnya ialah untuk menunjukkan kemuliaan baginda SAW, kerana pintu-pintu tersebut hanya dibuka semata-mata apabila Nabi Muhammad SAW dan malaikat Jibril ingin melaluinya. Jika semua pintu tersebut telah terbuka, pasti disangkakan bahawa keadaannya adalah sedemikian rupa dan bebas untuk sesiapa keluar dan masuk melalui pintu-pintu tersebut. Hikmah lain adalah untuk menunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa baginda SAW dikenali di kalangan penduduk langit, kerana apabila malaikat Jibril menyatakan bahawa bersamanya adalah Muhammad SAW, penjaga pintu tersebut bertanya kepada malaikat Jibril: “Adakah dia telah dibangkitkan sebagai Nabi?” dan tidak pula bertanya: “Siapa Muhammad?”
Dalam tafsir al-Qurtubi, beliau menyatakan bahawa pada malam Isra’ dan Mikraj, baginda SAW melihat para malaikat yang beribadah. Ada di antara para malaikat tersebut yang berdiri dan tidak duduk-duduk, ada yang rukuk dan tidak sujud-sujud, ada yang terus menerus sujud dan tidak bangun dari sujud. Kemudian Allah himpunkan kesemua jenis ibadah itu untuk baginda dan umat baginda melalui kefarduan solat yang boleh dilakukan kesemua ibadah tersebut dalam satu rakaat. Hikmah kefarduan solat pada malam Isra’ dan Mikraj juga adalah untuk menunjukkan kepada umat baginda betapanya agungnya solat yang diterima langsung oleh baginda SAW dari Allah di tempat yang melepasi langit ketujuh dan tidak melalui malaikat Jibril seperti kebiasaan ibadah-ibadah yang lain.
Hikmah lain antaranya Allah ingin mempersiapkan Nabi SAW untuk menghadapi peringkat baru dalam peringkat-peringkat dakwah islamiahnya iaitu peringkat hijrah ke Madinah yang berlaku setelah setahun peristiwa Isra’ dan Mikraj ini.
Dalam peristiwa ini, Allah telah memperlihatkan tanda-tanda kebesaran dan keagungan-Nya di langit dan di bumi, supaya baginda SAW merasakan bahawa segala kekuatan yang ada di bumi adalah kecil dan remeh berbanding kekuatan Allah yang menciptakan langit, bumi, syurga, neraka dan segala isi-isinya.
Semasa tempoh berada di Mekah, baginda diperintah oleh Allah untuk bersabar dan menanggung segala ujian dan beban dakwah terutama daripada penentangan kaum Quraish. Kemudian setelah berhijrah, baginda SAW diperintahkan untuk berhadapan dan melawan mereka yang menentang dakwah baginda SAW.
Dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini juga, Allah menjelaskan kepada umat manusia bahawa Dia berkuasa atas segalanya. Dia telah memuliakan Nabi dan Rasul-Nya, Muhammad SAW dengan baginda menjadi imam kepada seluruh nabi-nabi di Masjid al-Aqsa, kemudian naik sehingga langit ke tujuh, kemudian sampai ke Sidratul Muntaha, yang tidak pernah dicapai dan dicita-citakan oleh seseorang sebelum dan selepas baginda saw. Itulah antara nikmat terbesar yang Allah berikan kepada Nabi Muhammad SAW walaupun hanya dalam tempoh yang begitu singkat.
Akhirnya, dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini, Allah ingin mengingatkan kita kepada tempat-tempat suci umat Islam sepanjang zaman iaitu Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid al-Aqsa di Palestin yang menjadi sebahagian dari sejarah para nabi. Di tempat-tempat inilah nabi-nabi membawa agama tauhid yang seruannya adalah sama antara satu sama lain. Oleh yang demikian, umat Islam perlulah mengambil berat terhadap tempat-tempat suci ini terutama dalam usaha membebaskan Palestin sekarang yang masih di bawah penjajahan dan cengkaman golongan Yahudi.
KOMEN