Home » Langit Terbuka » Hibah terendah: Dijangka tiada ‘bank run’

Hibah terendah: Dijangka tiada ‘bank run’

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji berkata, pemantauan yang dilakukan oleh pihaknya setakat ini mendapati kadar pengeluaran oleh penyimpannya adalah normal. - Foto Yahoo

PUTRAJAYA – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak menjangkakan akan berlaku situasi ‘bank run’ iaitu pendeposit mengeluarkan simpanan beramai-ramai pada satu masa ekoran pengumuman kadar hibah bagi tahun kewangan berakhir 2018 yang terendah dalam sejarah.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pemantauan yang dilakukan oleh pihaknya setakat ini mendapati kadar pengeluaran oleh penyimpannya adalah normal.

Malah menurutnya, meskipun terdapat ura-ura sejak semalam mengatakan bahawa Tabung Haji mungkin akan memberi pulangan yang rendah namun tiada pengeluaran simpanan besar-besaran dilakukan sehingga kini.

“Jika berlaku (bank run) ini, kami sudah bersedia dan mempunyai dana yang mencukupi bagi memenuhi permintaan ahli kami,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Taklimat Prestasi Lembaga Tabung Haji dan Pengumuman Hibah Bagi Tahun 2018 di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zukri berkata, kerajaan komited untuk membantu Tabung Haji menerusi suntikan dana berjumlah RM17.8 bilion bermula tahun depan.

Langkah itu jelasnya, akan dilakukan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun atau sehingga sukuk yang diterbitkan susulan pemindahan aset TH kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urushartanah Jemaah Sdn. Bhd. (UJSB) berjaya ditebus semula sepenuhnya.

Beliau berkata, pembayaran pertama sebanyak RM500 juta akan dibuat pada tahun depan dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setiap tahun selama sembilan tahun atau sehingga semua sukuk itu ditebus semula.

“Ini adalah langkah kerajaan untuk menyelamatkan Tabung Haji, tetapi angka ini RM17.8 bilion ini adalah jumlah maksimum kerana ia bergantung kepada prestasi UJSB, berapa banyak aset yang telah kami pindahkan mampu dipulihkan oleh SPV berkenaan.

“Nilai aset yang kami pindahkan ke SPV ini berdasarkan nilai aset setakat Disember 2018 ialah RM9.7 bilion, sekarang sudah tentu nilainya sudah naik,” katanya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *