PUTRAJAYA: Pempengaruh media sosial diingatkan tidak mengambil kesempatan termasuk membuat parodi terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid sehingga menimbulkan keresahan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, menegaskan isu terbabit bukan perkara kecil dan ia perlu berdasarkan fakta yang tepat.
“Mereka kena berhenti (buat parodi dan sebagainya) sedangkan tuanku (Sultan Selangor) sudah bertitah memberi masa (kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri).
“Ini ada yang membuat (video) parodi, kemudian (individu itu) tersedar dan menarik balik (video parodi). Benda sebegini menimbulkan keresahan kepada rakyat,” katanya ditemui selepas menyempurnakan Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Mahmoodiah di sini, hari ini.
Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial, didakwa mempersendakan agama dan menghina mahkamah selepas memuat naik video parodi mengenai isu berkenaan.
Video berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan tindakan pempengaruh itu melakonkan semula perbuatan minum arak dan berjudi, namun tidak akan dikenakan hukuman.
Bagaimanapun, video parodi dimuat naik pempengaruh terbabit menerima kritikan serta kecaman daripada pelayar media sosial dan ada yang menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.
Berikutan itu, pempengaruh terbabit dikatakan sudah mengemukakan permohonan maaf dan menjelaskan bahawa tindakannya itu tidak mempunyai sebarang niat untuk menghasut mana-mana pihak.
Justeru, Mohd Na’im sekali lagi mengingatkan mana-mana individu tidak seharusnya membuat sesuatu perkara semata-mata untuk meraih populariti.
“Apabila kita nak bercakap sesuatu, mestilah berdasarkan fakta, bukan nak dapat populariti, akhinya menjerat diri, ini bukan benda kecil,” katanya.
KOMEN