BANGI – Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa hari ini menggesa pihak-pihak tertentu supaya berhenti mempolitikkan dan mengambil kesempatan atas isu pendakwah bebas, Dr Zakir Naik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan ia seharusnya dihentikan, agar dapat menamatkan segala naratif lain yang mampu mencetuskan sentimen perkauman dan agama.
“Jangan guna kesempatan untuk ambil kepentingan yang tidak berasas dan menjawab atau bercakap dalam satu (perkara) yang tidak tahu.
“Janganlah dengan guna isu Zakir Naik, ambil kesempatan ‘belasah’ semua orang, akhirnya mewujudkan naratifnya ‘mereka (kerajaan) tak jaga Islam, halau pendakwah hebat Islam’,” katanya menjawab soalan pada sesi townhall Maqasid Syariah anjuran Akademi Nunji (Himpunan Ilmuwan Kebangkitan Baharu) yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, di sini hari ini (27 Ogos).
Kerajaan katanya sudahpun membuat keputusan rasmi untuk tidak menghantar pulang Zakir ke India, maka orang ramai tidak seharusnya membangkitkan isu kononnya ramai menteri cuma membisu berkenaan isu itu.
Khamis lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi pendirian kerajaan tidak menghantar Zakir pulang ke India selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah.
“Kita ambil konsep Rahmah (Rahmatan Lil ‘Alamin), sebagai contoh orang datang rumah kita, takkan kita nak halau dia keluar,”.
Mengenai keputusan pihak berkuasa tidak membenarkan Zakir memberi ceramah di beberapa negeri ketika ini, Mujahid berkata ini berikutan pendakwah berasal dari India itu masih di bawah siasatan polis dan ia adalah untuk menjaga keselamatan Zakir.
Pada 3 Ogos lepas, Zakir dilaporkan membuat kenyataan kontroversi terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa berceramah di Kota Bharu dan ia telah mencetuskan desakan supaya beliau dihantar pulang ke India.
Susulan itu, Polis Diraja Malaysia mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk negara. – Bernama
KOMEN