Home » Langit Terbuka » Hayati Rasulullah SAW untuk pupuk perpaduan, kekalkan keharmonian – Menteri Agama

Hayati Rasulullah SAW untuk pupuk perpaduan, kekalkan keharmonian – Menteri Agama

MOHD. NA'IM MOKHTAR - FOTO UTUSAN

KUALA LUMPUR – Umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan diseru supaya saling membina perpaduan ummah dan mengekalkan keharmonian bermasyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha berkenaan boleh dijayakan menerusi penghayatan terhadap keperibadian dan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

“Islam telah ditampilkan dengan wajah yang indah, menyantuni pelbagai pihak dengan penuh ukhuwwah dan rahmah. Inilah model yang telah ditinggalkan oleh baginda Rasulullah untuk diaplikasikan oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan.

Menurut beliau, dalam masa yang sama usaha berkenaan seiring dengan usaha kerajaan untuk menjayakan gagasan Membangun Malaysia Madani.

Sehubungan itu katanya, agensi-agensi seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) serta Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mempunyai peranan yang penting untuk menjayakan gagasan Membangun Malaysia Madani yang diinspirasikan oleh kerajaan.

“Dalam konteks negara, Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu bersungguh-sungguh melaksanakan agenda Membangun Malaysia Madani bagi membentuk kesejahteraan masyarakat yang menjadi nilai teras Masyarakat Madani,” jelas beliau.

Selain itu katanya,  institusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan perlu diupayakan dengan program-program keilmuan membina tamadun insan selain menjadi pusat kesatuan masyarakat dan membantu para asnaf juga pihak yang tidak berkemampuan.

“Keberadaan masjid dan surau perlu benar-benar dirasai oleh komuniti setempat dengan penganjuran program-program pendidikan seperti kelas tuisyen, program motivasi keibubapaan, kem pemantapan solat dan sebagainya. Inilah peranan yang perlu digerakkan oleh institusi masjid dan surau di Wilayah Persekutuan,” tambah Mohd Na’im.

Terdahulu, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1445H kali ini adalah ’Perpaduan Teras Malaysia Madani’. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

JHEAIK pantau pergerakan GISBH di Kedah

Alor Setar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sentiasa memantau pergerakan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) yang beroperasi

Roti jenama Ikhwan tiada sijil halal – JAKIM

KUALA LUMPUR: Produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *