SEREMBAN – Umat Islam digesa menghayati ajaran kitab suci al-Quran yang melarang mereka mencetuskan huru-hara hingga menyebabkan orang yang tidak berdosa menjadi mangsa.
Katanya, huru-hara akan berlaku kerana kedua-dua pihak saling membalas dendam dan terdapat kemungkinan orang yang tidak berdosa menjadi mangsa.
Hari ini kita lihat di mana-mana sahaja berlaku tindakan keganasan dan membunuh mereka yang tidak berdosa sama ada dalam kalangan orang Islam atau bukan Islam.
“Ini adalah dilarang oleh agama Islam kerana dalam al-Quran, Allah SWT melarang kita daripada membunuh,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Dengan mengaitkan insiden keganasan di Christchurch, New Zealand, kelmarin, Dr. Mahathir berkata, tindakan kejam itu tidak boleh dibalas dendam dengan pembunuhan sekiranya umat Islam memahami isi kandungan al-Quran.
“Tetapi malangnya, hari ini, kita dapat lihat ramai orang Islam yang berbunuhan sesama sendiri di merata tempat termasuk di tempat mereka berhijrah.
“Akibatnya, akan berlaku tindakan balas seperti di Christchurch kerana mereka balas dendam dengan membunuh dan yang menjadi mangsa ialah insan yang tidak bersalah,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menyeru umat Islam supaya membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya supaya dapat hidup dengan lebih sempurna dan aman.
“Al-Quran memberi panduan kepada umat Islam perkara yang dilarang atau diwajibkan, perkara yang semuanya membentuk peribadi mulai jika kita ikut,” katanya.
Seramai 28 peserta yang terdiri daripada 14 qari dan 14 qariah yang mewakili negeri masing-masing akan menyertai acara tilawah berkenaan.
Bagi menghafaz al-Quran, seramai 84 peserta berusia tujuh hingga 25 tahun akan bersaing dalam tiga kategori yang dipertandingkan. – Utusan Malaysia
KOMEN