Home » Analitis » Hasad dengki meruntuh organisasi

Hasad dengki meruntuh organisasi

Antara penyakit hati yang paling digeruni kerana kemampuannya meruntuhkan umat ialah hasad. Hasad atau istilah mudahnya dalam bahasa Melayu ialah dengki. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab masyhurnya Ihya’ Ulumuddin, hasad ialah satu perasaan iri hati yang inginkan agar nikmat atau kelebihan ada pada orang lain terhapus atau tidak berkekalan.

Seseorang berpenyakit hasad sering kali merasai tidak tenang dalam dirinya kerana sikap yang tidak akan berpuas hati sehingga melihat apa dimiliki orang lain terhapus daripadanya.

Sebab itulah penyakit hasad biasanya akan membawa kepada perlakuan buruk lain seperti mengadu-domba, kata-mengata, jatuh-menjatuh, fitnah-memfitnah, umpat-mengumpat hinggalah menyemaraknya perasaan benci-membenci di dalam masyarakat.

Nabi Muhammad SAW sendiri mengingatkan dalam banyak hadis, antaranya: “Akan menular kepada kamu suatu penyakit umat terdahulu; hasad dan benci-membenci. Itu sebenarnya pencukur. Aku tidak menyatakan pencukur rambut, tetapi ia mencukur agama.” (Hadis Sahih Riwayat At-Tirmizi)

Malah jika ditelusuri sejarah kejatuhan setiap empayar dan tamadun kegemilangan Islam berpunca daripada nilai hasad yang begitu mengakar dalam diri pemimpin dan rakyat hinggakan saling jatuh-menjatuh bahkan sanggup berkompromi dengan musuh hanya semata-mata mahu memenuhi nafsu serakah yang tiada sempadan kepuasan.

Lebih malang sekali apabila wujud manusia bertopengkan agama tetapi jiwa penuh dengan hasad dengki hinggakan sanggup me’wakaf’kan diri setiap hari untuk berfikir bagaimana menjatuhkan orang lain.

Orang seperti ini hakikatnya mendustai agama kerana membantah kurniaan ALLAH kepada hamba-hamba yang dikehendaki-Nya sebagaimana firman dalam al-Quran: “Apakah patut mereka itu dengki kepada manusia disebabkan kelebihan yang ALLAH berikan kepada mereka?” (An-Nisa’:54)

Seharusnya sebagai umat Islam kita mesti sentiasa beriman dengan prinsip qadak dan Qadar yang jelas mengisyaratkan bahawa setiap kelebihan dan rezeki yang dinikmati seseorang semuanya telah ditentukan oleh ALLAH sejak azali. Setiap anak Adam apabila ditiup roh ke dalam jasadnya maka telah ditetapkan empat perkara termasuk rezeki, ajal, jodoh dan bala yang menimpanya.

Islam mengajar umatnya agar sentiasa berfikiran positif dan rasa cukup dengan apa yang diperoleh atau istilah syaraknya qona’ah. Sikap qona’ah pastinya akan menyuburkan minda seseorang dengan nilai yang baik sehinggakan setiap tutur kata dan perilakunya terpancar seri dan sentiasa disenangi oleh orang sekelilingnya.

Yang lebih mustahak adalah mendapat keberkatan dan kerahmatan ALLAH hinggakan rezeki yang diperoleh sendiri mampu membahagiakan diri dan keluarga kerana setiap sen yang diperoleh bukan melalui jalan menjatuhkan orang lain.

Bagi yang menjadi mangsa hasad dan khianat, usahlah pula rasa gundah-gulana kerana sesungguhnya rezeki kita tidak sesekali ditentukan oleh tingkah dan olah manusia.

Semuanya ditentukan ALLAH semata-mata. Jika sudah ditakdirkan ALLAH, buatlah macam mana sekalipun, nescaya manusia tidak sesekali mampu mengubahnya. Ini jelas disebut ALLAH dalam al-Quran: “Tidak ada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) sebelum kami menciptakannya..”(Al-Hadid:22)

Ini juga dipertegaskan dalam satu hadis: “ Dari Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas’ud r.a, katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan Baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya: ‘ Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara: rezeki, ajal, amalan, celaka dan bahagianya”.

Justeru jika kita meyakini takdir rezeki adalah termasuk daripada hak mutlak ALLAH, nescaya jiwa kita juga akan lebih tenang dan terhindar daripada gelodak nafsu untuk menjatuhkan orang lain dek kerana hasad dengki.

Moga-moga ALLAH menyucikan segala perasaan keji yang masih tersisa dalam diri, terutama penyakit hasad yang mampu mengikis segala kebaikan dan memporak-perandakan diri, keluarga dan masyarakat.

Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *