Home » Langit Terbuka » Harus siar gambar, video sembelihan dengan syarat tertentu: Mufti KL

Harus siar gambar, video sembelihan dengan syarat tertentu: Mufti KL

BANGI, 6 Sept. – Tindakan menyiarkan gambar atau video penyembelihan ibadah korban di media sosial hukumannya adalah harus, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Jelas beliau menerusi Irsyad Al-Fatwa siri ke-204, menayang gambar dan video penyembelihan adalah harus, namun mestilah dilaksanakan mengikut garis panduan yang khusus.

Katanya, penerbitan gambar dan video penyembelihan tersebut mestilah bertujuan baik dengan dinyatakan penjelasan.

“Contohnya meninggikan syiar Islam sempena Hari Raya, menunjukkan proses penyembelihan mengikut syarak, isu-isu syarak yang berkaitan dengan penyembelihan dan adab-adab ketika menyembelih.

“Selain itu, hendaklah ditunjukkan akhlak, etika dan adab sebenar dalam Islam ketika menyembelih untuk menunjukkan konsep ihsan. Dalam masa sama, hendaklah dielakkan unsur-unsur provokasi dan fitnah yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan menjadi tohmahan memburukkan imej Islam.

“Contohnya sengaja mencetuskan kenyataan atau tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina golongan bukan Islam atau komuniti yang memperjuangkan hak-hak binatang, atau memijak-mijak kepala haiwan sembelihan dan sebagainya,” katanya.

Menjelaskan sebab hukumnya harus Dr Zulkifli berkata, fotografi dan videografi tidak termasuk dalam kategori taswir (menggambar atau mengukir) makhluk bernyawa yang diharamkan oleh ramai ulama kerana hilangnya illah/sebab menandingi ciptaan Allah SWT.

“ Al-Allamah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah menukilkan dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hal. 203) yang telah kami terjemahkan.

“Fatwa Syeikh Muhammad Bakhit (bekas Mufti Mesir) bahawa bergambar dengan alat fotografi itu ibarat menangkap bayangan dengan cara yang diketahui oleh ahlinya tersebut dan ianya sama sekali bukan cara yang dilarang oleh Islam. Inilah pendapat kami.” Ini juga adalah pendapat Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya`rawi.

“Bagaimanapun, keharusannya bergantung kepada matlamat foto dan video tersebut dibuat. Jika tujuannya adalah baik dan keperluan maka hukumnya adalah harus. Sebaliknya, jika tujuannya adalah buruk maka hukumnya adalah dilarang,” katanya. – www.ismaweb.net

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *