IPOH – Hukum menggadaikan barangan berharga seperti emas di kedai pajak gadai adalah harus bagi memenuhi keperluan manusia yang berada dalam keadaan terdesak.
Jabatan Mufti Perak dalam kenyataan berkata, ia diharuskan atas sebab-sebab tertentu sepertimana firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 283 bermaksud: ‘Jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedangkan kamu tidak mendapati jurutulis maka hendaklah diserahkan barang-barang gadaian yang akan dipegang (oleh orang yang memberi hutang).’
Bagaimanapun menurutnya, sebagai umat Islam, adalah menjadi kewajipan ke atas mereka untuk menyelesaikan segala urusan gadaian di kedai pajak gadai Islam atau kini lebih dikenali sebagai al-Rahnu.
“Kontrak gadaian yang ada pada masa ini ada dua kategori iaitu kontrak gadaian konvensional dan dan kontrak gadaian Islam.
“Setiap kontrak yang dibenarkan oleh syarak mempunyai perkaitan dengan hukum hakam tertentu.
“Justeru, kontrak gadaian Islam merupakan alternatif utama bagi umat Islam kerana ia bebas dari sebarang unsur gharar (tidak jelas) dan riba,” katanya.
Kenyataan itu turut menjelaskan nilai gadaian menerusi kontrak gadaian Islam tidak merosot, malah barang gadaian dijamin selamat dalam simpanan pihak al-Rahnu.
Katanya, tempoh pembayaran balik wang pinjaman ke atas pihak penggadai adalah munasabah dan boleh diterima pakai oleh semua pihak.
“Selain itu, kadar caj perkhidmatan yang dikenakan oleh pihak al-Rahnu adalah rendah dan berpatutan,” katanya.
Berbeza dengan kontrak gadaian konvensional yang dilihat tidak memenuhi keperluan syariah kerana dalam masa yang sama turut mengenakan faedah yang berlebihan serta berlaku penyelewengan dalam transaksi gadaian. – Sinar Harian
KOMEN