PETALING JAYA – Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mempertahankan kenyataannya yang memuji keindahan tulisan Jawi dan kesenian Islam selepas “ditegur” salah seorang pengikutnya di Twitter.
Tuanku Azizah berkata sesiapa pun boleh menghargai dua perkara itu tanpa perlu menukar agama menjadi Islam.
“Tiada yang rasis, saya bercakap tentang keindahan Jawi dan kesenian Islam. Tak perlu nak jadi Muslim untuk hargai perkara ini.
“Begitu juga seseorang itu tak perlu jadi Melayu untuk jadi Muslim. Ada juga orang Melayu tapi bukan Muslim. Dalam Islam kita tidak terikat dengan kaum tapi dengan kepercayaan dan keimanan kepada Allah,” ciapnya.
Sebelum itu, pengikutnya yang menggunakan nama Adly Arief membalas ciapan Tuanku Azizah.
“Kenyataan ini boleh timbulkan pertikaian kaum, tuanku.
“Tak bolehkah kita setuju alpabet Latin atau Roman sekadar identiti budaya dan tidak ok untuk paksa kepada orang lain?” tulis Adly.
Dia merujuk kenyataan Tuanku Azizah yang menyebut soal kerugian jika orang Melayu, Cina dan India di negara ini tidak memahami tulisan masing-masing.
“Sayang kalau orang Melayu tak pandai tulis Jawi atau orang Cina tak pandai tulisan Mandarin atau orang India tak pandai tulis Tamil. Orang Siam dengan tulisan Siamnya.
“ABC itu universal dan global tapi kenalah pandai tulis cara kita juga. Tambahkan ilmu, tak rugi,” ciapnya. – FreeMalaysiaToday
KOMEN