Home » Langit Terbuka » Harga Barang Dijangka Meningkat

Harga Barang Dijangka Meningkat

SHAH ALAM – Harga barang dijangka meningkat selepas kerajaan melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September nanti, namun ia bukanlah melibatkan semua barangan.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Saizol Ismail berkata, SST mempunyai impak berganda namun pengguna tidak nampak kerana ia tidak dicatatkan dalam resit kerana hanya melibatkan pengeluar dengan ‘orang kedua’.

Meskipun kadar 10 peratus dianggap tinggi, namun Saizol berpendapat ia merupakan kadar sepatutnya jika dilihat kepada beberapa faktor terutamanya selepas mengambil kira pendapatan Kerajaan Persekutuan.

“Pada saya, kadar 10 peratus itu adalah kadar yang sepatutnya. Mungkin industri dah bertambah, lebih banyak berbanding dulu tetapi perbandingan perlu juga mengambil kira dengan keadaan ekonomi masa dulu dengan sekarang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, kemungkinan kadar 10 peratus itu juga akan kekal dilaksanakan memandangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan negara kehilangan RM4 bilion setiap bulan selepas GST diletakkan pada kadar sifar.

“Saya jangkakan mana-mana produk terlibat atau kena SST akan naik harga seperti kereta, barangan elektrik, elektronik. Tapi, makanan tidak dikenakan cukai kerana SST hanya dikenakan kepada beberapa barangan. Ia lebih kepada pengilang, keperluan asas rakyat tidak dikenakan cukai ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Saizol berpendapat GST merupakan sistem cukai yang baik kerana mampu memberi pendapatan tambahan kepada kerajaan, namun ia memberi tekanan kepada peniaga kecil disebabkan mereka tidak mahir dengan sistem serta perisian diperlukan dalam pelaksanaan cukai itu.

Katanya, syarikat besar tidak berdepan masalah kerana mereka mempunyai sistem tersendiri berbanding peniaga kecil yang berdepan masalah menuntut semula wang hasil daripada GST dikenakan kepada mereka.

“Bagi SST pula, hanya satu pihak dikenakan cukai iaitu pengilang. Dalam SST, harga akan meningkat disebabkan margin keuntungan diambil melibatkan ‘orang kedua’ dan pembeli seterusnya.

“Cuma selepas ini kerajaan perlu perkemas pemantauan harga, kawal peniaga yang mengambil kesempatan. Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (2011) perlu diperkemas pelaksanannya,” katanya. – SINAR HARIAN ONLINE

https://www.sinarharian.com.my/nasional/harga-barang-dijangka-meningkat-1.857519

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *