PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap Bajet 2019 yang akan dibentangkan pada 2 November depan dapat mengekalkan subsidi barangan utama supaya tidak membebankan rakyat.
Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata kementeriannya mengharapkan bajet pertama untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dijadual dibentangkan di Parlimen itu akan membabitkan pengguna secara langsung.
Beliau berkata, tiga barangan yang diharapkan untuk tidak ditarik subsidi ialah minyak masak, gas dan tepung kerana jika terdapat penarikan subsidi pada barangan yang dinyatakan itu, ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada kenaikan harga makanan.
“Menarik subsidi bermaksud meningkatkan harga, ia memberi kesan. Peningkatan harga barang akan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat. Adanya tepung, akan dijadikan roti canai dan roti. Ia adalah contoh makanan utama masyarakat.
“Saya tahu kekangan kewangan kerajaan, namun hasrat saya adalah supaya dasar seperti pemberian subsidi kepada barangan utama pengguna ini tidak akan dirombak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, pada masa sama, pihaknya juga akan memastikan setiap sen duit rakyat yang dibelanjakan melalui dasar subsidi itu akan sampai kepada golongan sasar yang memerlukan.
“Tidak boleh berlaku kebocoran atau ketirisan kerana kerajaan berbelanja besar tetapi duit berkenaan tidak sampai kepada sasaran. Itu adalah harapan saya dalam pembentangan bajet pada masa akan datang,” katanya. – Berita Harian
KOMEN