KUALA LUMPUR :Â Perbuatan menyebar berita palsu adalah haram dan mereka yang melakukannya boleh menanggung dosa.
Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, berkata penyebaran berita palsu bukan saja boleh mewujudkan suasana tidak sihat dalam masyarakat, malah turut memberi pelbagai kesan buruk terhadap keadaan politik, ekonomi, sosial dan budaya negara.
“Kebanyakan berita disebarkan tidak boleh ditarik balik dan hukumnya haram kerana perkara yang disebarkan itu membawa bencana kepada pihak tertentu.
“Malah, penyebaran berita jika ia benar sekali pun tetapi boleh menyebabkan keaiban kepada orang lain adalah lebih baik untuk tidak disebarkan,” katanya pada Forum Bicara BH bertajuk ‘Bisa Fitnah Siber’ di Balai Berita di sini, hari ini.
Forum turut disertai dua lagi ahli panel iaitu Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian, Pematuhan Media Baru, Pematuhan dan Advokasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim.
Wartawan Pendidikan BH, Meor Ahmad Nasriin Rizal Ishak, bertindak selaku moderator.
Forum anjuran BH dengan kerjasama SKMM itu bertujuan menyedarkan pengguna mengenai kesan maklumat palsu terhadap ekonomi, keselamatan dan keamanan negara serta reputasi individu.
Ia adalah siri pertama daripada enam siri yang akan diadakan dengan kerjasama SKMM.
Mohd Farid berkata, penggunaan ayat dan cara penyampaian mesej juga penting bagi mengelak bahan cuba disampaikan tidak menjadi berita palsu yang mengelirukan ramai pihak sehingga mencetuskan fitnah.
Apabila seseorang terjebak atau terbabit dengan fitnah, katanya, memang sukar untuk keluar daripada perkara berkenaan seperti yang disebut dalam al-Quran menerusi surah Al-Ankabut.
“Allah mengumpamakan perbuatan fitnah seperti sarang labah-labah yang sangat rapuh, tetapi apabila ada serangga yang tersangkut pada sarang berkenaan, susah untuk mereka keluar darinya,” katanya.
Beliau berkata, langkah mengelak daripada fitnah adalah sikap perlu dimiliki semua lapisan masyarakat matang terutama umat Islam yang terkait dengan hukum melarang fitnah sesama manusia. – BERITA HARIAN
KOMEN