Home » Langit Terbuka » Hanya selepas beberapa jam, pakej umrah percuma PU Amin pancing lebih 200 LGBT

Hanya selepas beberapa jam, pakej umrah percuma PU Amin pancing lebih 200 LGBT

PU Amin berkata, program yang dirancang sejak sebulan lalu itu,merupakan kesinambungan kepada pakej umrah yang ditawarkan secara percuma oleh sebuah syarikat pengendali umrah

PETALING JAYA – Pendakwah muda yang namanya hangat diperkatakan kerana sering memberi teguran kepada golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tampil memperkenalkan penyelesaian secara berhemah kepada golongan itu.

Pada Rabu, Pencetus Ummah (PU) Amin telah menawarkan pakej umrah secara percuma termasuk penerbangan dan penginapan, kepada 20 individu LGBT.

“InsyaAllah, saya akan taja 20 pakej umrah percuma kepada geng LGBT. Saya mohon semua LGBT yang betul-betul tak mampu dan nak sangat pergi umrah DM (mesej secara terus) saya,” katanya di laman sosial Instagramnya sebelum ia kemudian dipadamkan.

PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, ia merupakan program yang dirancang sejak sebulan lalu, kesinambungan kepada pakej umrah yang ditawarkan secara percuma oleh sebuah syarikat pengendali umrah kepada golongan fakir miskin, mualaf dan gelandangan.

Dengan tawaran itu, PU Amin berkata, ia sedikit-sebanyak mengubah tanggapan negatif terhadap beliau berikutan tegurannya terhadap LGBT yang dikatakan terlalu keras dan keterlaluan.

Hanya beberapa jam tawaran dibuat menerusi laman sosial Instagramnya, PU Amin berkata, lebih 200 individu dengan kebanyakannya adalah lesbian menyuarakan hasrat untuk menyertai program umrah itu.

“Alhamdulillah, ia nampak bahawa teguran saya bukanlah terlampau keras, tetapi rupa-rupanya PU Amin mempunyai penyelesaian masalah secara berhemah untuk mereka berhijrah.

“Kita nak masyarakat tahu bahawa pendakwah secara keseluruhan kerjanya bukan hanya mahu menghukum, nak mengecam tetapi sediakan jalan dan cadangan untuk sama-sama berubah,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

PU Amin berkata, pihaknya akan melakukan saringan terhadap golongan yang berminat dan memilih mereka yang benar-benar berkelayakan.

Tambah PU Amin, rombongan pertama ke Tanah Suci akan bermula Disember ini, dan kesemua mereka akan dibahagikan secara berkumpulan. – MStar

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *