PUTRAJAYA – Kerajaan hanya memberi kebenaran kepada rakyat tempatan untuk melakukan solat berjemaah di masjid selepas kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diperluas bagi melibatkan jumlah yang lebih besar.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan masih lagi dikenakan kepada warga asing untuk solat berjemaah di masjid pada masa ini memandangkan penularan kes dalam kalangan kumpulan itu masih tinggi.
“Bila kita umum kelonggaran (masjid dibenar menambah jumlah jemaah) ia tidak termasuk warga asing. Solat Jumaat dan jemaah hanya untuk warganegara Malaysia sahaja buat masa ini.
“Isu Covid-19 dalam kalangan warga asing masih tinggi, jadi keutamaan kita tentu sahaja rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media di Putrajaya pada 7 Jun.
Ismail diminta menjelaskan sama ada kebenaran solat berjemaah meliputi warga asing memandangkan kes positif Covid-19 dalam kalangan kumpulan itu masih tinggi.
Semalam Ismail berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju membenarkan lebih ramai jemaah menunaikan solat di masjid, bergantung kepada keluasan rumah ibadat itu.
Katanya, SOP kelonggaran itu untuk dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, dibentangkan pada Sabtu. – FreeMalaysiaToday
KOMEN