Home » Langit Terbuka » Hampir 10,000 sertai solat hajat, zikir bersama PM di Masjid Putra

Hampir 10,000 sertai solat hajat, zikir bersama PM di Masjid Putra

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob malam ini (21 Ogos) menyertai hampir 10 ribu jemaah di Masjid Putra di sini untuk solat hajat dan berzikir pada program Munajat Keluarga Malaysia.

Beliau tiba di Masjid Putra kira-kira 8.24 malam, yang kemudiannya diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Yang Berhormat Datuk Idris Ahmad untuk memulakan majlis.

Turut serta ialah beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.

Solat Isyak diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali manakala solat hajat pula diimamkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.

Ia disusuli bacaan zikir munajat dan qasidah dipimpin secara bersama oleh beberapa selebriti terkenal seperti Munif Ahmad.

Sementara itu, tausiah disampaikan pendakwah bebas Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid manakala bacaan doa Keluarga Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Ismail Sabri turut menyampaikan bantuan kepada 20 buah pusat tahfiz, pondok, institusi kebajikan dan rumah anak-anak yatim.

Program Munajat Keluarga Malaysia anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu diadakan bersempena setahun Ismail Sabri menerajui kerajaan. Munajat Keluarga Malaysia itu dijalankan serentak di enam lokasi iaitu Putrajaya, Kedah, Pahang, Sabah, Sarawak dan Johor. – Free Malaysia Today

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *