Home » Langit Terbuka » Halang kapal berkait Israel berlabuh, Hamas puji ketegasan Malaysia

Halang kapal berkait Israel berlabuh, Hamas puji ketegasan Malaysia

Wakil kanan Hamas, Osama Hamdan. - Foto AL MAYADEEN/FAIL

KUALA LUMPUR: Pejuang Hamas memuji ketegasan Malaysia melarang kapal berkait Israel berlabuh, sambil menggesa negara Arab dan Islam lain mencontohi langkah berkenaan untuk menunjukkan solidariti bersama Palestin.

Wakil kanan Hamas, Osama Hamdan juga melahirkan penghargaan dengan pendirian kukuh kerajaan Malaysia itu dalam menyokong rakyat Palestin ketika konflik masih berterusan sejak 7 Oktober lalu.

“Kami menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menghalang kapal dengan bendera Israel berlabuh di pelabuhan mereka dan tidak membenarkan mana-mana kapal yang menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

“Kami menyeru negara Arab dan Islam lain untuk mengamalkan pendirian sama menyokong rakyat kami di Gaza, yang mempertahankan kebebasan dan kemerdekaan mereka, menghormati perintah antarabangsa,” katanya pada sidang media di Beirut.

Hamdan seperti dilapor media antarabangsa, turut menggesa kesatuan sekerja global untuk menolak sebarang urusan dengan kapal Israel, tidak membekalkan barang atau bahan bakar serta makanan, sama seperti pendirian Malaysia.

“Kami berdoa untuk roh syuhada kami, penyembuhan kepada yang sakit dan cedera serta segera memperoleh kemenangan,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan kerajaan mengenai sekatan ke atas syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, kapal menggunakan bendera negara itu atau dalam perjalanan menuju ke sana, berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Keputusan itu yang berkuat kuasa serta-merta sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.

Ia turut membabitkan kapal milik syarikat ZIM berpangkalan di Israel yang dijadual berlabuh di Westports, Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini dengan Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera mengenakan larangan kekal terhadap syarikat itu.

Perdana Menteri menjelaskan, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia dan pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal terbabit untuk mendarat di Malaysia, namun kerajaan hari ini memutuskan membatalkan semua keputusan Kabinet yang lalu.

Anwar berkata, kerajaan turut memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel berlabuh di negara ini, selain larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *