Home » Langit Terbuka » Hakim Mahkamah Syariah perlu ada iltizam, integriti dan tak pilih kasih – Sultan Nazrin

Hakim Mahkamah Syariah perlu ada iltizam, integriti dan tak pilih kasih – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. - Foto Bernama

TAIPING: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah hakim Mahkamah Syariah perlu memiliki iltizam, keberanian, ketegasan dalam mengadili kes dengan penuh berintegriti, tanpa kelengahan, tanpa gentar dan tanpa pilih kasih.

Titah baginda, hakim perlu melakukan langkah sedemikian supaya tidak mencalarkan kepercayaan masyarakat terhadap mahkamah.

“… para hakim diamanahkan tanggungjawab untuk mentafsir undang-undang. Kebebasan badan kehakiman mentafsir undang-undang turut dimiliki oleh Mahkamah Syariah.

“Paduka ayahanda beta, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (Marhum Al-Maghfur-Lah) dalam artikel bertajuk “Supremacy of the Law”, in Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance (2004) menulis kenyataan berikut:

“Dalam perkara berkaitan badan kehakiman, persepsi masyarakat terhadap badan kehakimanlah yang penting. Badan kehakiman akan hilang nilai dan perkhidmatannya kepada masyarakat, jika orang ramai tidak yakin dengan keputusan oleh mahkamah,” titah baginda pada majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Taiping di sini semalam.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah.

Titah Sultan Nazrin Shah lagi, pendakwa, peguam bela, saksi serta pegawai yang menyediakan bukti dan bahan siasatan juga perlu bersikap saling membantu ke arah membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan, serta mengutamakan kes dapat diselesaikan tanpa berlengah.

“Keadilan sejati akan dapat diserlahkan jika pelbagai watak yang muncul di mahkamah menghayati semangat dan mengamalkan falsafah kerja yang mengutamakan fakta dan kebenaran berasaskan keinsafan dan kesedaran bahawa Allah SWT,” titah baginda.

Baginda bertitah, undang-undang digubal hendaklah bersifat dinamik dan bertenaga supaya kekal relevan serta berupaya memenuhi keperluan, cabaran, kemajuan dan teknologi semasa.

Titah baginda lagi, bagi meningkatkan kualiti sistem perundangan dan kehakiman syariah di negeri ini, amatlah penting dilakukan kajian, mengenal pasti klausa dalam enakmen yang tidak lagi relevan atau didapati kurang sesuai dengan perkembangan semasa.

“Klausa-klausa dan peraturan-peraturan sedia ada, yang dilihat boleh menghalang, melewatkan dan menggelincirkan proses keadilan, merangkumi kaedah penguatkuasaan dan hukuman yang dikenakan, perlu dimusyawarahkan untuk dilakukan pindaan dan penambahbaikan,” titah baginda.

Selaras perkembangan teknologi masa kini, baginda bertitah perkhidmatan Mahkamah Syariah perlu dipertingkatkan dengan memanfaatkan teknologi digital bagi memperluas dan mempermudah akses anggota masyarakat kepada sistem keadilan syariah.

Sultan Nazrin Shah bertitah teknologi pendaftaran elektronik secara dalam talian dengan kemudahan pembayaran Internet tanpa tunai perlu dioptimumkan pelaksanaannya di Mahkamah Syariah.

“Kemudahan sistem teknologi perbicaraan seperti sistem kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan yang sudah diguna pakai di Mahkamah Sivil hendaklah turut diguna pakai di Mahkamah Syariah,” titah baginda.

Baginda turut menyeru kerajaan Perak mempertimbangkan peruntukan dalam belanjawan negeri pada 2025 bagi membolehkan Mahkamah Syariah dilengkapi kemudahan rakaman audio perbicaraan dan sistem transkrip rakaman perbicaraan supaya dilihat tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding kemudahan peralatan yang dilengkapi di Mahkamah Sivil.

“Dengan mengguna pakai peralatan teknologi terkini, norma kerja di Mahkamah Syariah dapat dihijrahkan kepada norma baharu yang lebih cekap dan lebih produktif, di samping dapat membantu para hakim dan pegawai mahkamah lebih berfokus, lantas berupaya membuat penghakiman secara lebih cekap,” titah baginda.

Mahkamah Syariah Taiping yang sebelum ini dikenali Mahkamah Rendah Syariah Taiping mula beroperasi pada 1 Mei 1995 di Bangunan Istana Larut di Jalan Istana Larut di sini.

Mahkamah berkenaan berpindah ke bangunan baharu bersama-sama Pejabat Agama Islam Taiping dan Pejabat Baitulmal Taiping di Jalan Muzium di sini, pada 2000.

Pada 2016, bangunan baharu Mahkamah Syariah Taiping mula dibina dan beroperasi pada Mac 2021. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *