ISLAM adalah agama yang cukup realistik dan sesuai dengan fitrah manusia. Sebab itulah sistem Islam mengiktiraf kewujudan perbezaan taraf ekonomi antara yang kaya dan miskin. Firman ALLAH: ALLAH melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki (An-Nahl:71).
Kewujudan perbezaan tahap rezeki dan status ekonomi yang dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat pastilah mempunyai hikmahnya tersendiri. Ini kerana ALLAH tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, bahkan mempunyai matlamat tertentu yang memerlukan manusia berfikir dan mengambil pedoman.
Dalam al-Quran umpamanya, terdapat sekurang-kurangnya dua hikmah yang disebut dengan jelas mengenai hakikat kewujudan perbezaan taraf hidup dalam kalangan manusia. Pertama, sebagai ujian yang akan menjadi dasar pertanggungjawaban dan pembalasan. Firman ALLAH: Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. (Al-An`Am:165).
Kedua, diterangkan juga dalam ayat yang lain bahawa perbezaan taraf hidup bukan bermaksud Islam memperakui diskriminasi mahupun penindasan. Sebaliknya, kepelbagaian taraf hidup menuntut manusia agar dapat saling bertukar-tukar kudrat, manfaat dan tolong-menolong antara satu sama lain. Firman ALLAH: Dan Kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain beberapa darjat, agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain (Az-Zukhruf:32).
Pengiktirafan Islam akan hakikat perbezaan kekayaan manusia bukan pula bererti Islam membiarkan orang kaya bertambah kaya dan orang miskin berterusan papa kedana. Ia juga tidak bermakna Islam memberikan kebebasan mutlak kepada individu untuk memperoleh kekayaan secara semberono.
Sebaliknya, Islam menggariskan prinsip dan nilai yang jelas sebagaimana terungkap dalam sistem perundangan dan ekonominya yang bermatlamatkan agar si kaya tidak rakus bermaharajalela manakala si miskin dapat pula meningkatkan taraf hidupnya. Al-Quran menyebut: Harta kekayaan itu tidak seharusnya hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di kalangan kamu (Al-Hasyr:7).
Pengharaman riba umpamanya merupakan satu penegasan penting bagaimana Islam menghalang unsur-unsur eksploitasi dan penindasan yang dilakukan oleh golongan berharta untuk terus mengaut keuntungan di atas kepayahan dan keperitan hidup orang lain. Begitu juga dengan unsur monopoli pasaran atau ihtikar yang hanya menguntungkan golongan kaya dan berharta semata-mata.
Jika diteliti secara objektif, sistem ekonomi kapitalis yang berpaksikan dua unsur utama inilah yang menatijahkan seribu satu kecelakaan ke atas masyarakat dunia kini. Unsur riba dan monopoli yang mendominasi sistem ekonomi kapitalis menyaksikan jurang antara yang kaya dengan yang miskin semakin melebar.
Buktinya, mengikut perangkaan Bank Dunia, 3 bilion penduduk dunia kini hidup di bawah garis kemiskinan tegar.
Manakala harta kekayaan yang dimiliki 225 individu terkaya di dunia jika dicampurkan berjumlah US$1 trilion, adalah bersamaan dengan jumlah pendapatan tahunan 5 bilion penduduk termiskin dunia (Global Policy Forum, 2003). Ini hanyalah sebahagian kecil daripada pelbagai bukti kebobrokan hidup masyarakat dunia hari ini akibat sikap rakus manusiawi yang diwarnai budaya kapitalis berorientasikan nilai materialistik dan individualistik hingga mengabaikan prinsip keadilan, kasih-sayang dan kebajikan dalam kehidupan masyarakat.
Sebab itulah prinsip keadilan yang didukung Islam bukan sekadar ungkapan retorik sebagaimana yang cuba diketengahkan Barat. Sebaliknya prinsip keadilan Islam dijelmakan dalam setiap aspek kehidupan agar tidak wujud fenomena yang boleh menjerumus masyarakat ke dalam kancah konflik, krisis kemanusiaan dan kecelakaan akibat jurang ekonomi yang ketara antara kaya dengan yang miskin.
Komitmen Islam kepada sistem keadilan berteraskan kasih-sayang, persaudaraan, tolong-menolong dan tolak ansur turut dimanifestasikan melalui pelbagai wahana jaminan sosial seperti zakat, sadaqah, qard al-hassan (hutang tanpa faedah), takaful dan kafalah (jaminan). Sistem jaminan sosial ini bukan sahaja mempunyai nilai kerohanian yang tinggi bahkan mampu menjadi wahana memastikan kekayaan dan limpahan rezeki kurniaan ALLAH tidak hanya berlegar sekitar kelompok elit tertentu.
Demikianlah Islam memperhalusi hakikat perbezaan taraf hidup manusia. Ia amat berbeza dengan pandangan sesetengah agama lain yang tidak mempunyai perimbangan dalam menilai kerencaman taraf hidup sehinggakan ada yang mengambil pendekatan ekstrem sama ada menolak terus kekayaan ataupun merendahkan pula darjat orang miskin ke tahap penghinaan.
Sebaliknya Islam bukan sahaja memperakui kerencaman ini malah menggariskan pelbagai tanggungjawab, prinsip dan nilai yang seharusnya mendasari watak keperibadian setiap umat Islam. Moga-moga umat mampu menjiwai kembali prinsip Islam ini bagi menatijahkan masyarakat yang tidak lagi didominasi nilai kebinatangan yang rakus, sebaliknya berpaksikan kepada prinsip ketuhanan dan kemanusiaan sejati.
Sumber daripada www.sinarharian.com.my
KOMEN