Home » Langit Terbuka » Hafaz al-Quran jadi terapi pulih kanser darah

Hafaz al-Quran jadi terapi pulih kanser darah

Muhammad Amin Muadzam dan adiknya Muhammad Adli. foto : BERITA HARIAN

PUTRAJAYA: Biarpun disahkan menghidap kanser darah tahap empat, namun masalah kesihatan dihidapinya tidak sedikitpun menghalang hafiz muda, Muhammad Amin Muadzam, meneruskan usahanya menghafaz kitab suci al-Quran.

Muhammad Amin, 18, dari Sarawak, berkata dia disahkan menghidap penyakit itu ketika hanya tinggal 10 juzuk lagi untuk bergelar hafiz, namun keadaan kesihatan dirinya menyebabkan harapannya terhenti seketika.

Bagaimanapun, hasil dorongan bapanya, Dr Muadzam Mohamad, yang juga pakar radiografi di Hospital Umum Sarawak (HUS), remaja itu dia tidak pernah mengalah, sebaliknya tetap meneruskan hafazan kerana yakin mukjizat al-Quran itu mampu menjadi penawar penyakit yang dideritainya.

Anak sulung daripada enam beradik itu, berkata pada mulanya, dia hanya batuk dan tidak lama selepas itu, bahagian lehernya mula membengkak sebelum mulai hilang keupayaan untuk berjalan.

“Apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan saya menghidap kanser darah tahap empat dan ketika itu, saya hampir putus asa untuk meneruskan kehidupan.

“Namun, berkat sokongan dan nasihat ayah serta guru membuatkan saya yakin menghadapi ujian ini. Tiada alasan untuk berhenti menghafal al-Quran kerana ia adalah syifa (penyembuh),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Muhammad Amin mewakili Sarawak untuk kategori hafazan juzuk 1 hingga 30 sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1429H/2018 yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya di sini, hingga Jumaat ini.

Beliau berkata, bapanya sering menasihatinya untuk terus kuat dan meneruskan hafalan walaupun terpaksa menjalani rawatan.

“Saya pegang nasihat dan kata-kata ayah. Setiap kali menanggung sakit akibat rawatan kemoterapi, saya akan mencari al-Quran dan istiqamah dalam meneruskan hafalan walaupun terbaring di atas katil hospital. Alhamdulillah, tidak rugi menghafal al-Quran apabila dua tahun lalu, pakar mengesahkan saya pulih sepenuhnya daripada penyakit itu,” katanya.

Pelajar Madrasah Darul Ulum Islamiah, Kuching, Sarawak itu, berkata dia berjaya mengambil Syahadah iaitu selepas tamat khatam dengan menghafaz al-Quran (peringkat terakhir) pada tahun lalu.

Sementara itu, adik bongsu Muhammad Amin, Muhammad Adli, 12, juga mewakili Sarawak dan menjadi peserta termuda bagi kategori hafazan kali ini untuk juzuk 1 hingga 20.

Muhammad Adli berkata, dia tidak mempunyai perasaan takut walaupun menjadi peserta termuda dan berjaya menjawab setiap soalan yang diberikan juri.

“Saya menghafal al-Quran sejak berusia tujuh tahun dan berjaya menghabiskan 30 juzuk pada tahun lalu dan mengambil masa hanya empat bulan untuk Syahadah.

“Ayah menghantar kami untuk menghafal al-Quran sejak kecil bagi memastikan kami mempunyai bekalan di dunia dan akhirat,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *