KUANTAN 10 Mac – Akibat teruja bakal dihadiahkan wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM391,249) oleh kenalan lelaki dalam laman sosial Facebook, seorang guru wanita dari Jerantut dekat sini kerugian sebanyak RM41,500 selepas diperdaya sindiket love scam sejak Januari lalu.
Kejadian bermula pada 22 Januari apabila mangsa yang berusia 50 tahun menerima mesej daripada suspek kononnya mahu memberi hadiah sebagai tanda perkenalan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 29 Januari mangsa dihubungi suspek dan memberitahu perlu membayar sebanyak RM4,500 kepada pihak kastam untuk hadiah berkenaan.
“Pada hari sama, pada kira-kira pukul 3.30 petang mangsa memasukkan wang ke akaun bank yang diberikan suspek.
“Dua hari kemudian, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai wakil ‘Ajen T Link’ dan memaklumkan perlu membuat pembayaran berjumlah RM18,000 bagi urusan mendapatkan Certificate Laundry Money,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir, tanpa curiga mangsa kemudian memasukkan wang sebanyak RM18,000 di sebuah bank berlainan di cawangan Jerantut pada kira-kira pukul 3 petang hari yang sama.
“Pada 1 Mac lalu pada kira-kira pukul 2.12 petang, mangsa menerima pesanan daripada lelaki itu yang mendakwa sudah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun ditahan oleh pihak kastam kerana membawa wang berjumlah AS$100,000 (RM391,249). Suspek meminta mangsa membayar sebanyak RM4,000 kepada pihak kastam.
“Mangsa memasukkan duit sebanyak RM4,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek pada hari berikutnya dan mangsa memasukkan sebanyak RM15,000 pula pada 6 Mac lalu untuk tujuan sama,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, guru wanita terbabit menyedari ditipu apabila lelaki yang menghubunginya kali pertama itu meminta mangsa memasukkan wang berjumlah RM30,000 bagi melepaskan diri untuk perbicaraan mahkamah pula.
“Guru berkenaan segera membuat aduan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Polis sedang mengesan semua suspek terlibat dan kini giat memburu ‘keldai akaun bank’ iaitu mereka yang dipergunakan atau bersekongkol dengan sindiket untuk membuka akaun bank bagi menipu mangsa,” katanya.- UTUSAN
KOMEN