SERDANG – Guru-guru sekolah tidak lagi melakukan kerja-kerja perkeranian yang dikenalpasti menggangu tugas utama mereka sebagai seorang pendidik.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kementeriannya kini sedang berusaha keras mengembalikan tugas hakiki para guru iaitu mendidik dan mengajar bermula awal tahun ini.
Bagi tujuan itu kata beliau, kementerian pendidikan mengatur perancangan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang melalui sembilan intervensi yang dipecahkan kepada lima inisiatif.
“Lima inisiatif ini merupakan langkah pertama untuk meningkatkan kualiti pengajaran, manakala langkah kedua pula melibatkan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru-guru mampu menawarkan pengajaran yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan 3,000 warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika menyampaikan Amanat Menteri Pendidkan 2019 di Universiti Putra Malaysia di sini hari.
Menurut Maszlee, lima inisiatif tersebut iaitu memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, pengurusan data dan sistem online, merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi Linus bersesuaian dengan keperluan murid, penyeragaman borang dan proses pemantauan serta penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah.
Dalam pada itu Maszlee berkata, bentuk pentaksiran bagi murid Tahap Satu iaitu bagi tahun 1, 2 dan 3 di semua sekolah rendah akan bertumpu kepada perkembangan karakter dan potensi murid.
Katanya, penekanan tersebut adalah berorientasikan pembelajaran dan tidak lagi berorientasikan peperikasaan.
Jelas beliau, pentaksiran alternatif itu akan menggantikan peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan akhir tahun yang telah lama diamalkan.
“Pentaksiran Bilik Darjah ini akan melihat kepada perkembangan potensi murid secara lebih menyeluruh termasuk penerapan amalan murni dan kesedaran sivik khususnya yang berbentuk rutin harian.
“Kita juga memansuhkan pembahagian kelas mengikut pencapaian akademik. Hal ini kerana pembahagian kelas mengikut pencapaian akademik terutamanya seawal tahun satu adalah tidak selari dengan prinsip asas Pentaksiran Berasaskan Sekolah,” ujarnya. – MalaysiaGazette
KOMEN