Home » Langit Terbuka » Guna platform digital pasarkan produk halal global

Guna platform digital pasarkan produk halal global

Timbalan Perdana Menteri berkata, umat Islam wajar memanfaatkan penggunaan teknologi aplikasi telefon pintar, kepintaran buatan, robotik dan inovasi bagi memperkasakan ekosistem pengedaran produk dan perkhidmatan halal global. - Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu semua usahawan Muslim, terutama generasi muda memanfaatkan ruang digital untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan halal ke peringkat global.

Dr Wan Azizah berkata, umat Islam wajar memanfaatkan penggunaan teknologi aplikasi telefon pintar, kepintaran buatan, robotik dan inovasi bagi memperkasakan ekosistem pengedaran produk dan perkhidmatan halal global.

“Sebagai seorang muslim, kita mesti berusaha untuk bersaing dengan penggiat industri global lain dengan memanfaatkan revolusi platform digital untuk menunjukkan Islam cara hidup yang sesuai untuk manusia sejagat.

“Inilah yang sepatutnya lakukan untuk menunjukkan umat Islam ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat kepada seluruh alam),” katanya ketika berucap di penghargaan dan majlis malam sempena Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) di sini malam ini.

GHaS 2019 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ekonomi; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia; Perbadanan Pembangunan Industri Halal dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Timbalannya, Fuziah Salleh.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri berharap JAKIM terus memainkan peranan lebih berkesan bagi mempromosikan industri halal di peringkat global.

Wan Azizah berkata, bagi memperkasakan ekosistem halal global, JAKIM sedang melaksanakan lima inisiatif baharu termasuk Akademi Halal Antarabangsa Malaysia, Akademi Penyelidikan Halal Antarabangsa, Pihak Berkuasa Halal Antarabangsa, Pusat Inovasi dan Teknologi Halal.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah berkata, sehingga kini JAKIM sudah mengeluarkan lebih 10,186 sijil halal kepada syarikat tempatan dan luar negara.

Beliau berkata, JAKIM juga menjalinkan kerjasama dan mengiktiraf sijil halal dikeluarkan oleh 78 badan dan pihak berkuasa seluruh dunia. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *