Home » Langit Terbuka » Guna ‘ISLAM’ bawa golongan LGBT ke pangkal jalan

Guna ‘ISLAM’ bawa golongan LGBT ke pangkal jalan

Ada institusi agama sudah buat pelbagai inisiatif bagi mendekati golongan LGBT namun ia tidak diuar-uarkan, kata Presiden Multiracial Revert Malaysia

KOTA BHARU – Umat Islam disaran kembali kepada ajaran Islam sebenar berpandukan al-Quran jika mahu menyelesaikan isu berkaitan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini, sekali gus membendungnya daripada terus merebak.

Presiden Multiracial Revert Malaysia (MRM), Firdaus Wong berkata, penyelesaian kepada masalah sosial itu terkandung dalam ajaran Islam yang sememangnya mencakupi semua aspek dalam kehidupan, namun banyak pihak terlepas pandang perkara itu.

Beliau yang juga penceramah ternama berkata, secara ringkasnya, pendekatan perlu diambil semua pihak ada pada abjad I, S, L, A dan M.

“Abjad pertama iaitu I merujuk kepada institusi agama dan kerajaan yang perlu diperkasa. Sekarang banyak institusi agama kita dipandang serong dan dikritik orang awam kerana dikatakan gagal memainkan peranan dengan baik.

“Selain itu, ada institusi agama sudah buat pelbagai inisiatif bagi mendekati golongan LGBT namun ia tidak diuar-uarkan. Ini semua perlu diperbaiki,” katanya ketika mengulas pembentangan kertas kerja bertajuk ‘LGBT dan Feminisme’ oleh wakil Institut Pemikiran dan Peradaban Islam (INSISTS) Indonesia, Dr. Henri Shalahuddin sempena Seminar Bahaya Islam Liberal, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, abjad kedua iaitu S pula merujuk kepada santuni, iaitu semua pihak digalakkan menyantuni golongan LGBT, mendekati mereka serta tidak terlalu cepat memandang serong kumpulan tersebut.

“Dalam surah al-Imran ayat 103, Allah SWT menyebut, sudah lupakah dulu kamu di lembah neraka, tetapi kerana rahmat-Nya, kamu diselamatkan. Dengan kata lain, hari ini mereka adalah LGBT, tetapi mungkin pada masa depan mereka juga berada dalam konteks itu.

“Seterusnya ialah abjad L yang merujuk kepada layan, iaitu bermaksud, layanlah golongan itu dengan kelembutan, bukan mengherdik, menghina atau mengejek kerana itu hanya akan menjauhkan lagi mereka. Harus diingat, Rasulullah SAW sendiri menasihati para sahabat dengan cara lemah lembut, bukan marah-marah.

“Sedar atau tidak, kita umat Islam hari ini adalah peguam terbaik dalam menghalalkan tindakan sendiri, dan kita juga adalah hakim terbaik dalam menghakimi orang lain. Kalau kita tak suka orang menghukum kita, janganlah mudah kita menghukum orang lain pula,” katanya.

Kata beliau, abjad A merujuk kepada agamawan yang dilihat menjadi semakin eksklusif dan sukar didekati sehingga wujud jurang antara orang biasa yang memerlukan bimbingan dengan kumpulan itu.

Abjad M pula tambah beliau, merujuk kepada media, iaitu berusaha memanfaatkan semua bentuk media yang ada pada hari ini bagi mencapai matlamat mendekati dan mengajak golongan LGBT kembali pangkal jalan.

“Apa yang berlaku sekarang ini adalah sebaliknya iaitu Islam sering tewas angkara media dari segi persepsi. Kita boleh tengok bagaimana media-media telah menyalah tafsir apa yang kita sebut mengikut acuan yang mereka mahu,” katanya. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *