BANGI 6 Sept. – Realiti yang menyelubungi umat Islam di Malaysia ke arah perpaduan ummah hanya bersifat ‘hangat-hangat tahi ayam’ dan menyerang antara satu sama lain kini memerlukan konsep ‘Grand Strategy’ sebagai gagasan perpaduan dalam menangani cabaran dari dalam dan luar negara,kata Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.
Beliau selaku ahli Panel Perunding Perpaduan Ummah (PPPU), Majlis Dakwah Negara (MDN) berkata, dalam sejarah terdahulu faktor pendorong yang menggerakkan ‘perpaduan’ kerana adanya pemimpin negara dan ulama yang menggerakkan usaha ke arah perpaduan ummah sebelum dan diawal zaman negara mencapai kemerdekaan.
Namun ia tidak lagi berlaku pada hari ini ekoran persekitaran politik dan tekanan globalisasi telah mengubah sikap, tindakan, pemikiran pemimpin, ulama dan masyarakat.
“Realiti yang telah menyelubungi umat Islam khasnya Malaysia apabila pergerakan mereka ke arah perpaduan kini bersifat ‘fire fighting’, ‘one off’,sementara, segera dan hangat-hangat tahi ayam.
“Tahun-tahun 30an sehingga 70-an lebih mudah disegerakan perpaduan kerana adanya ‘mulut-mulut yang masin’ daripada seorang perdana menteri,mufti,khatib dan sebagainya, sebaliknya hari ini tiada lagi mulut-mulut masin seperti itu menyebut ke arah perpaduan.
“Mungkin dahulu tidak ramai agamawan dan cerdik pandai ketika itu cukup dalam `ketiadaan rotan akar pun berguna’, mudah sekali masyarakat terdesak untuk berpadu dalam peristiwa bersejarah seperti 13 Mei 1969.
“Dalam keghairahan mengerakkan Islam berlatarbelakangkan agamawan yang bertaburan masa kini dengan kepelbagaian program agama, kebebasan bercakap di media massa,keilmuan semakin berkembang tetapi menjadi percanggahan dari sudut politik dan agama hingga merenggangkan antara kita untuk mewujudkan perpaduan.
“Ditambah faktor globalisasi di mana nilai luar mengubah kehidupan kita terutama orang Melayu beragama Islam yang mudah terpikat dengan idea berlainan antaranya wujud pula kumpulan G25 atau apa sahaja dengan kelainan dan kepelbagaian menyebabkan berinteraksi dalam medan sama tetapi bercanggah dengan idea Islam dan perpaduan ummah pula,” ujarnya.
Beliau bercakap demikian ketika mengulas kertas kerjanya bertajuk: Grand Strategy- Gubahan Ummah dan Gagasan Perpaduan pada Persidangan Pendakwah Kebangsaan yang bertemakan:’Peranan Pendakwah dalam Perpaduan Ummah dan Pembangunan Negara di Bangi semalam.
Justeru Prof Mohamad berkata, sudah tiba masanya MDN mengetengahkan pendekatan `Grand Strategy’ iaitu satu kaedah yang akan mengikat sebuah masyarakat masa hadapan menjadi masyarakat yang ideal dalam usaha menyatukan ummah pada hari ini.
Ia adalah satu perancangan dan pelaksanaan ke arah suatu perubahan hidup lebih ideal yang mempunyai impak masa kini, masa hadapan dan serantau yang akan menjadi ukuran pergerakan hari ini ke masa hadapan.
“Itu yang saya maksudkan sebagai ‘grand strategy’ barangkali perpaduan itu kelak akan dapat bersauk sebagai satu gagasan yang lebih luas dan konkrit berdasarkan al-quran dan hadis, serta realiti kepelbagaian kaum.
“Jika sudah bersauk mudahlah untuk mentafsir perpaduan dalam memupuk nilai yang patut diagungkan dan berkembang dari generasi ke generasi masa hadapan.
“Sama ada pembuat dasar, pemimpin dan masyarakat yang disebut sebagai ‘pelaku dan pengiatnya’ untuk mewujudkan ‘grand strategy’ yang mempunyai misi dan visi yang mana apa jua interaksi sesama kelompok mereka akan terhala kepada kesatuan ummah yang menjurus kepada ke Melayuan, ke Islaman dan ke Malaysiaan,” ujarnya.
Grand Strategy dalam politik
Prof Mohamad yang juga bekas Ketua Jabatan Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Univesiti Malaya ini menjelaskan `grand strategy’ ini harus dihayati dikalangan pemimpin tertentu yang berpengetahuan dan berkedudukan strategik, dalam politik dan pentadbiran, bidang-bidang tertentu yang dapat membantu merealisasikan konsep ini.
“Dalam keadaan biasa kehendak politik (political will) amat penting untuk menterjemahkan fahaman ini bagi membolehkan ia digerakkan secara ‘top bottom’.
“Kehendak politik ini juga perlu diiringi dengan propaganda, penyelidikan, perang saikologi, perang proksi dan penyediaan pelaku atau pengiat yang berorientasikan ‘grand strategy’,” ujarnya.
Jelas beliau lagi Malaysia seperti kebanyakan negara dunia ketiga belum sepenuhnya mengalami tranformasi demokrasi, ujarnya amalan ‘top-bottom’ masih relevan untuk memastikan sesuatu polisi dipatuhi.
“Dalam konteks Malaysia pelaksanaan ‘grand strategy’ secara menyeluruh seharusnya melibatkan tindakan ‘legal-constitutional’ di peringkat kebangsaan, gerakan, aktiviti politik dan diplomasi diperingkat serantau.
“Sebagaimana pada perang dunia kedua, Amerika Syarikat dan Zionis telah bergerak dan bertindak dengan mendukung ‘grand strategy’ dengan misi dan visinya. Di Jerman dan Jepun pula bertindak keras dan tegas, bersistem turut menerapkan ‘grand strategy’ sehingga berjaya mengubah perwatakan masyarakatnya dan negara mengikut pola yang ditetapkan.
“Masing-masing mempunyai pendekatan dan kekuatan serta kelemahan tersendiri, ia seharusnya menjadi inspirasi dan iktbar dalam pembugaran ‘grand strategy’ keIslaman ala Malaysia yang mampu mengasimilasi unsur dan pengaruh luar tanpa kehilangan intisari dan imejnya,
“Malah dalam situasi ketiadaan ‘grand strategy’ sekalipun sebagai kerangka dan konteks bertindak matlamatnya masih boleh dicapai jika pemimpin dan masyarakat menjurus kepada sasaran yang sama.
“Sebaliknya ia tidak berlaku sedemikian di negara ini yang lebih menjurus kepada keregangan dan perpecahan dan sudah tiba masanya memerlukan satu ‘grand strategy’ ke arah mengikat penyatuan ummah,” ujar penyandang kerusi Tun Abdul Razak ke-12 di Universiti Ohio, Amerika Syarikat ini.
Turut hadir dalam persidangan ini Pengerusi MDN Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid, Yang Dipertua Yadim Dr Yusri Mohamad, Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha, Ahli Jawatankuasa Mobilasi Masyarakat Madani MDN Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail dan Pengerusi Persidangan oleh Datuk Dr Fadzilah Kamsah selain 100 hadirin dikalangan pendakwah seluruh negara.
Sumber : https://malaysiadateline.com
KOMEN