Oleh Profesor Dato’ Mohamad Abu Bakar
Kertas kerja ini dibentangkan pada Persidangan Pendakwah Kebangsaan, 6 September 2016.
‘Grand Strategy’ boleh ditakrifkan sebagai perancangan dan pelakuan menyeluruh dan berjangka jauh, dengan bersasaran suatu gubahan hidup yang berimpak, termasuk ke atas persekitarannya, sama ada di peringkat nasional, serantau atau antarabangsa. Selaku pelan operasi menuju suatu konfigurasi hidup berupa “imagined society”, atau “Invisible Nation”, ia bertindak sebagai sebuah konstruk yang menjadi rujukan, atau suatu naratif besar yang menjadi ikutan.
Sebagai perancangan dan pelakuan ia lebih daripada suatu “road map”: penterjemahan atau pelaksanaannya memerlukan penglibatan serta sistem sokongan yang menjadi batu bata dalam penggubahannya. Pelan strategik sebegini tidak boleh diperkasakan tanpa penyertaan faktor-faktor ini secara tersusun dan konsisten.
Keberadaban atau kehadiran penglibat dan penggiat amat crucial dalam pembugaran “grand strategy”. Peranan mereka secara aktif, dan pengiat pro-aktif dan asertif berpotensi besar bagi menjamin kejayaan “grand design” yang menjadi natijah kepada “grand strategy”. Malah dalam situasi ketiadaan “grand strategy” sebagai kerangka dan konteks bertindak, matlamat “grand strategy” masih boleh dicapai SEKIRANYA para penglibat dan penggiat berkelengkapan DNA yang menjuruskan kehidupan mereka kepada sasaran yang sama. Ertinya, cita-cita besar mampu terangkat sehingga membuah gubahan setara dengan objektif “grand strategy” sendiri.
Oleh yang demikian, secara lojiknya, sekiranya “grand strategy” yang dimaksudkan berbekalkan penglibat dan penggiat berkenaan dan disokongi oleh prasarana atau institusi yang berkaitan, kejayaannya lebih terjamin.Dengan itu, sewajarnya perancangan dan pelakuan sesuatu “grand strategy” turut memuat penyediaan penglibat dan penggiat yang bertanggunjawab kepada misi dan visinya.
- ‘Grand Strategy’ sebagai Gubahan & Gerakan
Sejarah kontemporari atau sejarah semasa telah menampil beberapa “grand strategy”, sesetengahnya masih beroperasi, khasnya di peringkat antarabangsa.“Grand Strategy” sebagai deskripsi mungkin tidak terpasang pada perancangan dan pelakuan berkenaan, namun pada hakikatnya pelan operasi yang tersemat dengan berbagai taktik sesungguhnya adalah “grand strategy” di bawah penajaan sesuatu kelompok atau negara.
Semenjak penubuhannya lagi, Amerika Syarikat yang diarusi oleh nilai WASP (White Anglo-Saxon Protestants), dengan gagasan untuk memartabatkan “kebebasan” dan “demokrasi liberal” dan memasyarakatkan nilai-nilai ke Amerikanan keluar, ke seantero dunia, telah bertindak menunduk pihak lain, kadangkala secara paksaan. Perasaan bahawa Tuhan menyebelahi mereka, dan bangsa Amerika berkedudukan “superior” begitu dominan.Maka bersandarkan “Manifest Destiny” ini, negara itu bukan sahaja telah merampas Texas dan jajahan Mexico, tetapi juga merempuh Afghanistan dan Iraq. Atas dasar “American exceptionalism”, ia telah merencana dan mencipta PBB, Rancangan Marshall, Bank Dunia dan IMF untuk merealisasi cita-cita sejagatnya. Bagi mengekang kominisme yang menjadi musuh nilai-nilai Barat ke Amerikanan, Washington memasang dasar pembendongan (Containment Policy), yang melibat pembentukan NATO di Eropah dan SEATO di Asia Tenggara.
Sekitar kurun ke-19, telah terbentuk dan terpupuk Zionisme, suatu “grand strategy” untuk memajukan objektif penubuhan “Jewish homeland” di atas bumi Palestin dan memerangkapkan pihak yang bertentangan. Dasar kebangsaan yang bersalutan ideologi bahawa Yahudi adalah pilihan Tuhan, berusaha dan bertindak mempertemu bangsa tersebut yang berada dalam diasporasemenjak 600 tahun sebelum Masihi. Zionisme yang disokong dan dibantu oleh penglibat dan penggiat yang berjiwa sehaluan, daripada kalangan Yahudi Ashkenazi terutama sekali, menjadikan pembentukan “Eretz Israel”, sebagai matlamatnya. Di mana-mana, khasnya di Amerika Syarikat, pihak-pihak yang menyokong atau bersekongkol denganya seperti Anti-Defamation League (ADL), bergerak sama, termasuk membenteras gejala “holocaust denials”. Minda Arab dilapah untuk memudahkan kejayaan. Dewasa ini, kejayaan demi kejayaan yang tertempa oleh “grand strategy” mereka, termasuk berikutan “aliyah” atau migrasi, merangsang para zionis untuk mengembang wilayah mereka melebihi Der Judenstaat, atau Israel yang sedia ada. Zionisme, sebagai sebuah “grand strategy” masih terpacak menjadi rujukan hingga ke hari ini, sama ada ia digandingkan dengan “Protocol of the Elders” ataupun tidak.
Menjelang dan semasa Perang Dunia ke 2, Nazisme dan Projek Rantau Makmur Asia Timur Raya (Dai – to – akyoiekan) merupakan dua “grand strategy” yang terpupuk. Di bawah Hilter, penubuhan “Third Reich (Drittes Reich) yang menjadi matlamat telah merangkai individu dan institusi dalam suatu perancangan strategik, melibat perjuangan bangsa Jerman sebagai “Master Race”, pengamalan sains engenics, propaganda dan pembugaran dasar luar yang membawa kepada penaklukan dan pengluasan wilayah (Deutsches Reich, atau German Empire). “Grand Design” yang terungkap dalam karya Hilter, Mein Kampf, dan yang menyasar kepada penghayatan masyarakat berasaskan bangsa, ternyata begitu berpengaruh sekali. Tidak kurang juga pentingnya ialah “grand strategy” Jepun untuk menakluk Asia Timor sambil menafikan penjajah Barat, dalam rangkausaha penubuhan “bloc of Asian Nationsledby the Japanese and free of Western powers”. Idea yang tercanang oleh sarjana Kiyoshi Miki, mengalami penghayatan ketara menerusi propaganda dan perang.
Kalaulah kedua-dua strategi yang melibatkan Amerika Syarikat dan Yahudi Zionis jelas bergerak berbekalkan penglibat dan penggiat yang berkesedaran dan berpengetahuan mengenai misi dan visi disebalik rancangan besar yang terlibat, peserta dan bakal peserta dalam gerakan Nazisme dan penubuhan “Greater East Asia Co-Prosperity Sphere” semacam terpaksa diasuh, diolah dan dibentuk supaya mereka berkedudukan dan berperanan menjayakan skim kerajaan masing-masing. Semua pihak, termasuk Gestapo, “Hitler’s Youth”, dan para doktor didoktrinasikan sebegitu rupa sehingga mereka berjuang ke arah kejayaan “Third Reich”; begitulah juga di Jepun, anggota “Imperial Japanese Army”, termasuk pejuang kamikaze, para sarjana, diarah dan dikerah untuk menjayakan perintah Maharaja, dan menempat bangsa Jepun sebagai pemimpin di rantau timur Asia. “Misi pentamadunan” atau mission civilisatresebagaimana yang terserap dalam “Pax Americana” atau “The Chosen People” sebagaimana yang bersebati dalam Zionisme, tidak mencirikan kebangkitan Jerman dan Jepun ini.
Kebangkitan China akhir-akhir ini, berikutan tamatnya Perang Dingin dan penularan globalisasi, mengundang pertanyaan. Sekiranya ia bersifat Pax Sinica dengan gagasan pengluasan wilayah (nine-dash line) meliputi Nanyang (Laut China Selatan), penggunaan kepakaran dan modal orang Cina dimerata dunia, termasuk di Thailand, Singapura dan Malaysia, dan pembentukan semula rangkaian Laluan Sutera (Silk Road) yang melibatkan Asia Tengah, Timur Tengah dan Eropah, maka itu menjelaskan suatu “grand strategy”. Sebagai “globalpower” dengan kecenderungan expansi ia memungkin “clash of grand strategies” dengan pihak lain seperti Amerika Syarikat, dan bukan sekadar “Clash of Civilization”. Lebih menarik lagi ialah komitmen kebangsaan orang Cina yang turut mengiringi kedudukan mereka sebagai pengusaha dan pelabur yang berpotensi menghasil SATU gubahan yang berimpak. Malah melihat pada perwatakan orang Cina, dengan DNA mereka yang menyatukansesama sebangsa, kehadiran suatu “grand strategy” bukanlah suatu pra-syarat dalam kejayaannya.Aspek “cunning, creativity and clannishness” memanfaatkan pelaksanaan bersama cita-cita besar tersebut.
Singapura pula, semenjak kemerdekaannya berikutan perpisahan dari Malaysia dalam tahun 1965, dipercayai bergerak dan bertindak dalam wawasan sebuah “grand strategy”. Idea menjadikannya “The New York of Malaysia”, ketika ia masih berada di dalam Malaysia dan gambarannya sebagai “The Israel of Southeast Asia”, serta gelarannya sebagai “The Switzerland of the East”, selepas pemecatannya dari Malaysia, membayangkan jalur-jalur yang bergerak dalam pengubahan Singapura yang merdeka. Sungguhpun konsep “Malaysian Malaysia” gagal diterjemahkan menjadi realiti, Singapura yang telahpun muncul sebagai kuasa ekonomi dan kuasa tentera terkuat di rantau ini tentu sekali tidak lahir sewenang-wenang tanpa berbekalkan “grand strategy”. Ungkapan “exceptionalism” yang dipadankan pada pengalaman negara-kota itu bukanlah suatu deskripsi kosong.“The Little Red Dot” sudahpun bertukar menjadi “A Large Yellow Sun”, kadangkala memanaskan negara-negara berjiranan dengannya secara berlebihan.
Sebagai sebuah “globalcity” (ecumenopolis), berpandukan “pragmatic idealism” dan ditangani oleh “high calibreminds”, Singapura menjadi rujukan negara jiran, dan pengaruh yang mendefinasi persekitaran serantau. Ia bukan sahaja berkelengkapan lebih daripada 100 buah peluru berpandu jarak sederhana, kapal terbang pejuang jenis F-15 dan F-16, dan dinaungi Amerika Syarikat, menjadikannya satu-satu “garrison state” di Asia Tenggara, negara-kota ini juga bertindak memisahkan diri daripada sejarah tempatan dan menafikan pengaruh negara jiran. Kejayaan dan kekayaannya, dengan penampilan pelabur dari seluruh dunia dan pelancongan sekitar 15 juta setahun, menjelaskan tahap pencapaian sebuah “grand strategy”. Pengantarabangsaan Singapura, dengan penularan pengaruh China di Asia Tenggara, menjamin penerusan projek “Greater Singapore” dengan impaknya yang berpanjangan ke atas persekitaran luar, termasuk Malaysia.
Tidak pasti sama ada orang Melayu yang beragama Islam, khasnya di Malaysia, pernah bergerak di bawah sesuatu “grand strategy”. Selama ini, “Melayu Raya” yang berasaskan “rumpunisme”, merupakan sebuah konstruk yang longgar bercirikan nostalgia kegemilangan lepas dunia Melayu Nusantara dengan Majapahit-Srivijayanya, tetapi tidaklah pula menjelma sebagai sebuah doktrin yang koheran. Ia sememangnya terpugar pada suatu ketika di bawah tajaan Propagandists dan Apolinario Mabini di Filipina, Muhammad Yamin dan Tan Malaka di Indonesia, dan Ibrahim Hj. Yaacob di Malaya.Kemuncak kepada perkembangan ini ialah kelahiran Maphilindo pada Jun 1963 berikutan Persidangan Menteri-menteri Luar Malaya, Filipina dan Indonesia di Manila.Segalanya semacam terhenti disitu. Adapun Persekutuan Malaysia (Greater Malaya), hasil gabungan Malaya, dan tiga lagi bekas tanah jajahan British, Singapura, Sabah dan Sarawak, yang jelas merupakan projek bersama Inggeris-Kuala Lumpur, lebih tertumpu kepada isu keselamatan, politik dan ekonomi, dan tidak menetas sesuatu binaan baru daripada segi gubahan nilai.
Apakah “Rancangan Luar Bandar”, “Dasar Pelajaran Kebangsaan”, “Dasar Ekonomi Baru”, dan akhir-akhir ini “Wawasan 2020”, “Islam Hadhadri” dan “Islam Moderat” yang dicanangkan boleh dianggap “grand strategy”? Paling jauh, segalanya ini adalah “strategy” jangka pertengahan, dan lebih tepat lagi diperihalkan sebagai “Crash Program”, “Projek Segera”, “Respons Semasa”, atau perancangan yang ditentu-corak oleh kepimpinan politik dalam era atau zaman masing-masing. Sememangnya nilai Melayu-Islam, atau unsur Islamiyyah terbungkus sama;namun elemen ini setakat ini belum berupaya mendefinisikan gubahan yang cuba dijelmakan menerusi pengenalan berbagai pendekatan ini. Sesetengahanya telah larut ditelan masa, atau di pinggirkan berikutan perubahan kepimpinan, atau semakin terhakis akibat globalisasi semasa.
- Globalisasi dan Penterjemahan dan Pemerkasaan “Grand Strategy”
Globalisasi semasa sebagai pensejagatan nilai sekular – moden Barat ke dunia lain, yang telah mengalami kerancakan berikutan keruntuhan komunisme internasional berkedudukan sama ada membantu atau membantut penterjemahan atau pemerkasaraan sesuatu “grand strategy”. Dalam konteks masa kini, Amerika Syarikat yang sering dilabel kuasa unilateral, meraih keuntungan, dan begitu berkeyakinan memajukan cita-cita hegemoniknya, dalam bentuk “Manifest Destiny” yang asal atau menerusi “Project for the New Century” yang dipelupori oleh puak neo-conservatives atau melalui pembentangan “Orde Baru Dunia”. Tanpa banyak rintangan ideologi, pemasyarakatan demokrasi, ekonomi laisse faire, dan budaya yang bersumberkan nilai sekular-moden, atau Judea-Christian, lebih mudah diuruskan atas nama kestabilan dan keselamatan sejagat. Globalisasi Amerika ini semestinya menguntungkan negara itu untuk menjayakan strategi penaklukannya, apatah lagi ia turut berdampingan negara-negara Anglo-Saxon lain, dalam gabungan “The Five Eyes”.
China juga menempa tempat yang lebih selesa apabila persoalan ideologi tidak lagi berbangkit dalam era pasca-perang Dingin.Globalisasi menjadi saluran kepada pengluasan pengaruhnya, terutama di negara-negara berjiranan dengannya dan yang mempunyai jumlah etnik Cina yang ramai.Suatu bentuk, alignment telah wujud antara Barat dan China apabila masing-masing berkongsi pendirian mengenai ekonomi, sekalipun pada zahirnya wujud persaingan sengit antara kedua-duanya.Pemerkasaan ekonomi menerusi perdagangan dan pelaburan berkaitan meletakkan China pada kedudukan begitu strategik untuk menentu corak kehidupan di negara-negara yang berurusan dengannya, seperti Malaysia.China sebagai “the Asian Tiger” telah bergerak begitu berimpak sekali bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di benua Afrika.Tanpa mewar-warkan “grand strategy” sekalipun, etnik Cina yang berbekalkan DNA penggerak telah mara ke hadapan menjayakan cita-cita bersama mereka.
Negara-negara yang berangkaian dengan Barat dan China semacam terserap dalam “grand strategy” pihak tersebut dan semakin menerima padahnya.Negara-negara yang berada dalam litaran gergasi luar ini menjadi sebahagian daripada dunia dan terpaksa berurusan mengikut trend dan tempoh asing. Kalau di dahulunya imperialisme-kolonialisme yang dibantu oleh orientalisme, memerangkap wilayah ini selaku tanah jajahan atau negara baru merdeka, kini wilayah yang sama terdedah dan terpedaya oleh mainan dan manipulasi luar. Malaysia yang beroperasi sebagai negara baru selepas Merdeka, menganut demokrasi-liberial dan kapitalisme, sementara budaya sosial penduduknya pula adalah refleksi nilai-nilai Barat yang berterusan berkembang.Aktiviti hiburan pada zaman P.Ramlee, yang turut melibatkan Shaw Brothers dan Cathay Pacific adalah sebahagian daripada senario ini. Bukanlah sesuatu yang mengejutkan jika dewasa ini, keadaan serupa terus berlanjutan sekalipun ia turut dilibat oleh Bollywood.
Salah satu dimensi globalisasi semasa ini ialah pengantarabangsaan Sejarah, iaitu pemikiran dan pelakuan menyebati sejarah, sejarah negara lain, sejarah komuniti lain, atau sejarah lokal dengan sejarah arus perdana, sama ada di bawah bayangan Barat, atau di dalam skim kuasa besar lain, seperti China. Pemahaman seumpama ini bukanlah suatu yang baru, kerana pernah terhasil gubahan bernama “One World System Theory” oleh Immanuel Wallestein. Mengikut kacamata sarjana Hubungan Antarabangsa, ini sejarah mengalir secara unilinear, iaitu dari Barat ke luar, dan segala yang lain daripadanya merupakan bahagian-bahagian atau pinggiran-pinggiran daripada keseluruhan sejarah kapitalisme yang besar. Francis Fukuyama menjelas fenomina ini sebagai “The End of History”, tetapi pada realitinya Barat atau mana-mana kuasa besar yang dominan merangkum pihak luar dalam wawasan dan gagasannya.Kita sekadar pemboncang sejarah mereka.
Sekiranya benar globalisasi semasa lebih berimpak, sebagaimana ternyata daripada peranan meluas MNCs dan seumpamanya, maka itu bermakna projek-projek seperti “Rancangan Luar Bandar”, Dasar Pelajaran Kebangsaan”, “Dasar Ekonomi Baru”, serta gagasan “Wawasan 2020” dan sepertinya, akan dihanyutkan oleh arus perdana global tersebut. Program yang sememangnya telahpun terpedaya oleh wawasan politik ini, atau dimangsakan oleh kegagalan para pentadbir dan penugursnya, akan semestinya terbeban lagi akibat asakan daripada luar, dengan janji-janji materialnya yang kadangkala bersalutan korapsi. Segala perancangan yang digembar gemburkan sebagai penyelamat bangsa dan negara akan terlebur lama kelamaan dan Malaysia akan bertukar menjadi kawasan pelaburan asing, arena politik pihak luar, medan sosial dunia, dan taman reaksi untuk pelancong semua bangsa bersantai dan berkelah.
Predikamen atau peristiwa yang sedang meyelubungi Malaysia, khasnya orang Melayu yang beragama Islam, menuntut suatu gubahan “grand strategy” untuk dihayati. Gerakan penyelamatan ini seharusnya disegerakan dan segala penyusunan ke arah itudibuat sebelum “grand strategy” pihak lain memusnah apa sahaja peninggalan warisan lepas. Sebagai “counter-strategy”, pendekatan ini boleh dianggap suatu bentuk pertahanan, kerana “the best form of defense is attack”. Walaubagaimanapun, pembugaran dan penterjemahan sesuatu “grand strategy” di peringkat tempatan atau nasional ini bukanlah suatu pekerjaan dan penglibatan yang mudah, sama ada kesukaran daripada segi penggubahannya, atau kesukaran dari segi pelaksanaannya. Masa yang lama, tenaga yang banyak dan pemikiran yang kreatif sangat-sangat diperlukan, lantaran kekangan yang terpaksa dihadapi begitu banyak dan besar.
III. Gubahan Nilai Islam sebagai “Grand Strategy” dan Gagasan Perpaduan Ummah Di Malaysia
Sebuah “grand strategy” yang dipadankan kepada kehidupan Malaysia masih belum wujud, sekalipun bayangan mengenainya dapat dikesan dalam sistem kesultanan, federalisme dan perlembangaan negara dengan peruntukan tentang raja-raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu dan hak istemewa orang Melayu. Malah “Rancangan Luar Bandar”, “Dasar Pelajaran Kebangsaan”, polisi-polisi berkaitan, secara langsung dan tidak langsung, mengukuhkan gubahan dalam bayangan ini. Namun itu semua tidak menjadi ia suatu gubahan padu dan koheran, sebuah “grand strategy” dalam ertikata yang sebenar. Jalur-jalur yang bertindak dan bergerak ini merangkumi langkah melengkapi, tetapi yang juga jelas ialah iakadangkala berjalan berasingan, dan berserpihan (disparate),tanpa penujuan yang SATU. Tidak terdapat usaha untuk merangkai dan merantai kesemuanya dalam satu sistem. Lebih teruk lagi apabila ia bersifat “one-off”, terhenti di tengah jalan.Kita jelas belum berjaya; selama ini kita hanya mampu mengurang kegagalan.
Sesuatu yang luar biasa adalah tidak lebih daripada gabungan perkara-perkara biasa dalam susunan yang luar biasa.Sekiranya jalur-jalur ini disepadukan menerusi suatu jalinan, maka segala komponen yang di ungkit di atas, khasnya kesultanan dan perlembangaan dengan segala isi kondongannya, dan apa sahaja institusi yang telah beroperasi sehubungannya, mampu diangkat sebagai batu bata dalam pembinaan “Grand Strategy” berteraskan nilai Islam Malaysia. Apabila ia sudah tegak dalam bentuk “mindset”, ia berkedudukan menilai dan menafsir, menapis dan memilih unsur, sambil menyuluh jalan, menerangi polisi dan program, menuju matlamat. Seandainya “grand strategy” ini berjaya dimasyarakatkan dengan penyertaananggota yang komited, maka ia akan berfungsi seperti pesawat yang berpandukan “auto-pilot”. Di mana ia beroperasi, ia tetap menjurus kepada sasarannya. Begitulah pengalaman bangsa Inggeris, yang berDNA Anglo-Saxon, dalam penghijrahan keluar mereka kebenua Amerika dan Australasia.Mereka menjadi bukit di darat dan pulau dilaut.
“Grand Strategy” sebagai suatu naratif besar seharusnya dibentangkan sebagai petunjuk jalan dan rujukan, dan untuk mengukuhkan lagi imej tentang masa depan yang ditujui. Ia menjadi kerangka bertindak.
Bagi maksud pembentangan ini, “grand strategy” yang dimaksudkan ialah gubahan yang mengatur penghayatan nilai Islam dalam konteks Malaysia, dengan mengambil kira warisan sejarah dan wawasan Al-Quran.Ia mungkin diwarwarkan sebagai sebagai sebuah peradaban Islam yang terbina menerusi fiqh Malaysia dan diresapi oleh nilai keNusantaraan. Orde yang menjadi “imagined society” ini perlu terisi oleh modus operandi yang membantu pelaksanaannya, terdiri daripada individu penglibat dan penggiat dan institusi sebagai sistem sokongan. Perkiraan jangka jauh, dan persoalan menggerak-aktif semua komponen dalam binaan ini secara kumulatif, seharusnya ditekankan untuk mengelak kegagalan di tengah jalan.Setiap perjalanannya adalah sebahagian daripada DESTINASI.Jentera kerajaan berupa institusi dan agensi agama adalah di antara pihak yang dimandatkan dengan tugas dan tanggongjawab mewujudkan persekitaran ini.
Sememangnya diakui bahawa bukanlah mudah, untuk membugar sesuatu “grand strategy”, dengan halangan di dalam dan di luar negara.Dunia luar lebih besar dan lebih perkasa daripada Malaysia.Pendukung dunia luar juga terdapat dalam negara.Nilai-nilai asing yang semakin terserap, berikutan globalisasi turut diterimapakai oleh orang Melayu yang beragama Islam sendiri. Sepatutnya, menerusi asuhan Islam, yang menyasar mereka kepada kebaikan di dunia dan diakhirat, mereka ini sudahpun menjelma menjadi manusia berDNA yang berkencerungan kepada gubahan ordeIslam ke Malaysianan semenjak dahulu lagi. Sebaliknya, mereka hanya bangkit apabila bercerminkan kejayaan pihak lain, sebagaimana yang telah mereka lakukan semenjak tahun-tahun 1930an, apabila berdepan dengan percapaian dan perolehan bangsa Cina dan India. Itupun berlaku dalam kadar sementara, “panas-panas tahi ayam”, manakala tindak tanduk pemimpin mereka sekadar bersifat “fire-fighting”.
Sehubungan ini, “grand strategy” sebagai gubahan dan gambaran ideahendaklah dibentangkan untuk menjadi anutan sekurang-kurangnya oleh pemimpin tertentu yang berpengetahuan dan berkedudukan strategik, dalam politik dan pentadbiran, dan bidang-bidang tertentu yang jelas dapat membantu pelaksanaannya.“Political Will”sangat penting dalam penterjemahan fahaman ini, dan mereka berkenaan tidak seharusnya terjerumus dalam developmentalism semata-mata, tanpa memikir isu nation-building yang lebih besar.“Grand Strategy” ini boleh disepakatkan dalam pembinaan negara, dan bertindak sebagai sejarah dalam sejarah.Ia berkedudukan bertindak sebagai counter-globalization, ketika berdepan dengan persejagatan nilai Barat dan pengaruh China. Para sarjana intelektual yang membongkar nilai silam patut memain peranan sama untuk mengukuh “grand strategy” yang semestinya bertunjang masa lepas. Sokongan cerdik-pandai sangat penting untuk membuahschool of thought yang mendukung “grand strategy”.Agamawan terutama sekali seharusnya menjadi penyumbang utama dalam pembentukan konfigurasi hidup ini.
Gubahan yang diketengahkan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, lebih-lebih ketika negara dan masyarakat turut dihidangkan oleh peradaban luar, hendaklah kelihatan menawan, mampu mengikjaskan, dan diyakini benar-benar menjadi “Rahmat kepada sekalian alam”. Hanya sesuatu yang istemewa sahaja yang dapat mendefinasikan persekitaran hidup.Ia melebihi amalan sembahyang dan puasa, zakat dan haji, kerana kalau ia sekadar itu sahaja, maka kehidupan sebegini sedia terdapat di negara-negara kapitalis di barat dan di negara-negara kominis di timor. Manusia dan masyarakatnya seharusnya berfungsi sebagai peradaban yang berjalan.Seandainya, “grand strategy” diperihalkan sebagai suatu “a civilization in the making”, dan dipercayai beroperasi sedemkian maka masa depannya lebih cerah.Ini bermakna “organizing principles” yang menggerakkan perjalanan dan penujuannnya seharusnya sesuatu yang dianggap baik, dan dikesan baik.Orang Melayu yang tidak berbekal warisan Borobubur atau Angkor Watt, iaitu budaya material yang kekal mengkagumkan, perlu memperlengkapkannya dengan gubahan idea sebagai gantinya. Kalaulah Abraham Lincoln merujuk kepada cara dan gaya Amerika sebagai “the last, best hope on Earth”, “grand strategy” ini sewajarnya manjadi “the last, best hope for Malaysians”.
“Political Will” sebagai kehendak politik perlu juga diiringi oleh propaganda, penyelidikan, perang psikologi, perang proksi dan penyediaan penglibatatau penggiat yang berorentasikan “grand strategy”. Sesebuah “grand strategy” sekalipun kelihatan statik sebagai “master-plan”, ialah sebuah gubahan dinamik yang mengambil kira persekitaran dan keperluan taktikal. Propaganda dan penyelidikan mempunyai peranannya tersendiri.Propaganda bertindak memasyaratkan dan mempopularkan idea, sementara penyelidikan merisik, mengkaji dan menilai pendekatan dari semasa ke semasa, disamping memahami keperluan keadaan dan menangani kritikan dan tentangan pihak yang bermusuhan.Perang psikologi dan perang proksi juga mempunyai peranannya.Setelah penglibat dan penggiat mampu beroperasi dengan kekuatan sendiri dan menempa kedudukan yang berpengaruh di mana sahaja mereka berada, maka itu merupakan tahap di mana mereka sudah berDNA. DNA di sini bukan terbatas kepada keupayaan biologi, kerana ia juga boleh terbentuk menerusi sosializasi.Ia melebihi ‘survival instincts’.Penterjemahan ideal ini perlu diiringi oleh perundangan dan penguatkuasaannya, kerana pendekatan legalis masih kekal relevan dalam pembugaran hidup berperadaban ini.
Dalam konteks ini, perpaduan ummah sangat penting dan amat crucial dalam penterjemahan ‘grand strategy’- yakni perpaduan sebagai pra-syarat kepada penubuhan orde yang diidam-idamkan. Perpaduan sekadar reaksi kepada perpecahan, biasanya bersifat ‘reactionary’, defensive, dan sementara, dan ditelan keadaan apabila anggota masyarakat kelihatan kembali bersatu hati dan berdamai. Pengalaman lepas ditandai oleh episod-episod sebegini, semenjak kemunculan gerakan Islah Islamiyyah pada tahun-tahun awal Abad Kedua Puluh dan selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei. Perpaduan untuk perpaduan (unity for unity sake), atau perpaduan untuk mengembalikan status quo yang belum tentu berupa sesuatu yang baik, juga tidak memadai, selagi ia tidak dipertali dan dijalinkan kepada suatu ‘imagined society’ atau ‘invisible nation’ yang berada dalam wawasan. Sahubungan ini, para agamawan yang tersentuh dan tersentak oleh perpecahan dalam masyarakat akan menghulur idea, sepertimana peserta jamuan ‘pot-luck’ menyediakan sumbangan masing-masing kepada majlis makan, dan selepas acara berlangsong, mereka akan kembali meneruskan kehidupan asal. ‘Grand Strategy’ diharap dapat mengikat mereka agar berterusan komited kepada agenda jangka jauh.Ringkasnya, perpaduan yang terjana dalam acuan yang kukuh dan adunan berpanjangan, semestinya bersifat definatif, atau penentu.Manusia dan masyarakat yang tertambat kepada Islam, di resapi oleh ukhuwwah Islamiyyah, terhala kepada sistem rabani, hatta mereka berlainan pendirian politik.
- Masa Depan ‘Grand Strategy’
Sesuatu gubahan hidup yang menyentuh pihak lain, secara positif atau negatif, mengundang masalah. Pemberitahuan dan pembentangan dengan terperinci “grand strategy” boleh membangkit banyak persoalan dan pertanyaan.Keadaan ini seharusnya ditangani dengan bijak.Pemberitahuannya secara umum, dalam bentuk yang kabur, pula boleh menyebabkan kesukaran kepada penglibat dan penggiat untuk menuruti dan mematuhi pelan yang terancang. Pendukung yang menjadi sistem sokongan “grand strategy” akan kehilangan perspektif atau hala tuju. Keadaan ini seharusnya ditangani dengan bijak.Dalam situasi sekarangpun, bukan sedikit di kalangan orang Melayu bertukar menjadi “manusia lembut” dan penuh apologetik membicara kedudukan mereka.Pengalaman Amerika Syarikat dan Zionis, dan penglibatan Jerman dan Jepun pada masa Perang Dunia Kedua wajar diambil kira sehubungan ini.
Amerika Syarikat dan Zionis bergerak dan bertindak berlatar belakangkan para pendukung “grand strategy” yang sudahpun berDNA bertepatan dengan misi dan visi. Jerman dan Jepun bertindak keras dan tegas, dan bersistem, menerapkan agenda “grand strategy” sehingga berjaya mengubah perwatakan masyarakat dan negara mengikut pola yang dipertetapkan. Masing-masing pendekatan mempunyai kekuatan dan kelemahannya, dan ia seharusnya menjadi inspirasi dan iktibar dalam pembugaran “grand strategy” keislaman ala Malaysia ini.
Suatu faktor campur dalam pemasyarakatan “grand strategy” dikalangan rakyat ialah sudahpun wujud pendidikan, pelaksanaandasar, penerapan budaya, dan pematuhan kepada perlembangaan yang berpaksikan nilai Melayu-Islam.Aspek-aspek ini, seandainya di semarakkan dan dimurnikan, berkemampuan menjadi sistem sokongan yang lebih baik dan berkesan.Pendahwaan yang sedia berjalan juga mampu menyumbang kepada pembinaan gubahan hidup ini.
Bahawa kini jumlah orang Melayu mencecah 60% daripada penduduk Malaysia merupakan aset yang boleh diterjemahkan menjadi faktor positif.Oleh itu suatu persekitaran yang kondusif sangat diperlukan dalam pemupukan jiwa mereka.
Malaysia, seperti kebanyakan negara di dunia ketiga, masih belum mantap daripada pembudayaan demokrasi. Sorotan dan saranan dari atas masih boleh dilakukan, dan amalan “top-bottom” ini masih boleh dipakai dalam penerapan nilai “grand strategy”. State Capitalism dengan GLC nya adalah sebahagian daripada cara dan gayanya.
Pengluasan ruang demokrasi tetap berguna, iaitu setelah anggota masyarakat, terutama sekali pendukung “grand strategy”, berkelengkapan DNA yang bertepatan dengan cita-cita disebalik “grand strategy”.
Ringkasannya,pembugaran dan perlaksanaan “grand strategy” dalam konteks Malaysia ini melibat tindakan “legal-constitutional” di peringkat kebangsaan, pendekatan dan penkaderan di peringkat sosial, dan aktiviti diplomasi di peringkat serantau dan antarabangsa. Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah Barat telahpun mengetatkan syarat ke atas migran baru, dengan mempastikan mereka terlebih dahulu berbekalkan pengetahuan kenegaraan dan fahaman sejarah, di samping kebolehan berbahasa.“Grand Strategy” yang berjaya ialah gubahan yang mampu mengasimilasi unsur dan pengaruh luar, tanpa kehilangan jatidiri dan hala tujunya.
Sesuatu berupa “grand strategy” belum tentu dapat menghasilkan kejayaan, tetapi tanpa “grand strategy” kita akan kekal berada dalam kegagalan, sebagaimana yang telah dialami selama ini. Ada pula yang berpendapat bahawa pelbagai ‘strategi’ kecil yang sedia tertempa akan membawa kepada natijah serupa, kelahiran “Grand Strategy”: tetapi sayogia diingat bahawa air yang mengalir deras dari berbagai penjuru belum tentu bertemu parasnya, dan menjadi arus besar, jika tidak dipandu oleh sistem paritan dan terusan.
PROFESOR DATO’ MOHAMAD ABU BAKAR
Profesor Dato’ Mohamad Abu Bakar ialah bekas Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, dan Penyandang Kursi Tun Abdul Razak ke 12 di Universiti Ohio, Amerika Syarikat. Beliau juga pernah menjadi Profesor Pelawat di Universiti Nasional La Plata, Argentina, Sarjana Pelawat Fulbright di Universiti Washington, Amerika Syarikat, Felo Pelawat di Universiti Victoria di Wellington, New Zealand, dan Felo Pelawat di Pusat Pengajian Islam, Oxford, England.
Bidang penyelidikan beliau meliputi Falsafah Sejarah dan Golongan Intelektual, Politik Melayu dan Dasar Luar Malaysia, Islam Kontemporari dan Globalisasi Semasa. Beliau telah membuat sekitar 400 pembentangan dan menghasil lebih daripada 150 penerbitan.Sebahagian daripada tulisan dan temuduga telah diterjemah ke bahasa-bahasa Arab, Cina, Indonesia, Jepun, Jerman, Sepayol dan Tagalog. Pandangannya turut tersalur menerusi radio dan tv tempatan dan luar negara, termasuk Radio BBC, Radio New Zealand, Voice of Amerika dan Al-Jazeera. Buku beliau, Penghayatan Sebuah Ideal mengenai Islam semasa pernah memenangi Hadiah Bahasa Persatuan Linguistik Malaysia-Maybank.
KOMEN