Home » Langit Terbuka » Graduan digalak jadi mutawwif, mutawwifah

Graduan digalak jadi mutawwif, mutawwifah

Kerjaya mutawwif dan mutawwifah bertauliah adalah untuk membimbing jemaah umrah dan haji semasa berada di tanah suci. (gambar hiasan)

SERI KEMBANGAN: Lepasan universiti dalam bidang agama atau individu berkelayakan digalakkan mencuba kerjaya baharu sebagai mutawwif atau mutawwifah bagi membimbing jemaah umrah serta haji yang semakin meningkat setiap tahun.

Pada masa ini, agensi umrah seperti Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) perlu bergantung kepada mutawwif asing yang sedikit sebanyak menimbulkan beberapa isu kepada jemaah dari negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khalid Noordin, berkata antara isu yang timbul seperti kesukaran komunikasi dan pemahaman soal ibadat tidak seragam apabila menggunakan mutawwif asing.

Katanya, setakat ini THTS mempunyai lebih daripada 100 mutawwif berdaftar yang mana 50 peratus daripadanya ialah orang asing dan perlu menguruskan sekurang-kurangnya 30,000 jemaah umrah setiap tahun.

“Justeru THTS ingin memberi peluang kepada individu tempatan berkelayakan merebut peluang ini untuk mutawwif berkualiti yang dapat membimbing jemaah umrah dan haji lebih baik serta memberi keselesaan kepada semua orang.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel & Services, Datuk Khalid Noordin (kiri) dan Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Mohd Daud Mohd Arif (kanan) beramah mesra dengan Peserta Seminar Mutawwif/Mutawwifah di Hotel Palace The Golden Horses. – Foto Saifullizan Tamadi

“Pada masa sama kita juga memberi peluang pekerjaan kepada graduan bidang agama khususnya yang mungkin sukar mendapatkan pekerjaan.

“Malah, bakal mutawwif ini juga seolah menjadi ejen pemasaran kepada THTS serta akan mengikuti kursus insentif untuk ditauliahkan nanti,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Mutawwif / Mutawwifah 2018 Beri Peluang Jana Pendapatan Dalam Industri Pelancongan Islam, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Bahagian, Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Mohd Daud Mohd Arif.

Kira-kira 500 peserta hadir pada seminar itu.

Sementara itu, Mohd Daud berkata, usaha dilakukan THTS sekurang-kurangnya dapat memberi jaminan ibadat umrah dan haji dilaksanakan oleh jemaah tempatan lebih sempurna.

“Kerajaan dan kementerian mengalu-alukan program seperti ini kerana ia dapat mengurangkan penipuan pakej umrah oleh agensi luar dengan wujudnya kerjaya mutawwif dan mutawwifah bertauliah ini.

“Justeru peluang ini harus direbut kerana jika kita terlalu bergantung kepada mutawwif asing, ia akan merugikan,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *