PETALING JAYA – Lelaki yang menggoda isteri orang masih boleh didakwa di bawah undang-undang syariah negeri-negeri walaupun peruntukan di Mahkamah Persekutuan sudah tidak boleh diguna pakai.
Di bawah undang-undang syariah, masih kekal terdapat peruntukan hampir sama bagi kesalahan lelaki yang menggoda isteri orang.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan, mana-mana lelaki boleh didakwa di atas kesalahan memujuk lari wanita bersuami.
“Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
“Keputusan semalam adalah untuk kesalahan di bawah kanun keseksaan. Di bawah undang-undang syariah, masih kekal bagi kesalahan hampir sama,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau menjelaskan, peruntukan yang sama juga terdapat di dalam enakmen kesalahan jenayah syariah negeri-negeri.
“Aduan hendaklah dibuat ke bahagian penguatkuasaan jabatan agama Islam untuk disiasat sebelum ia dibawa ke mahkamah syariah untuk didakwa.
“Walau sekalipun tiada sebarang undang-undang, masyarakat harus sedar bahawa perbuatan menggoda atau memujuk lari isteri orang adalah perbuatan yang tidak bermoral dan amalan masyarakat jahiliah,” jelasnya.
Kelmarin Kosmo! melaporkan,Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dalam prosiding jenayah untuk mendakwa lelaki yang menggoda isteri orang.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat apabila mengisytiharkan seksyen itu tidak berperlembagaan kerana melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.
KOMEN